Fakta Kajian Indeks Persepsi Intergriti Masyarakat Malaysia
• 27% ibu bapa Malaysia tidak kisah anak berada di luar rumah sehingga lewat malam, tidak mengambil tahu aktiviti anak di luar rumah dan dengan siapa anak berkawan.
• 29% keluarga tidak mengamalkan makan malam bersama secara konsisten.
Tanpa ragu, gejala buang bayi, ragut, bunuh, penderaan, perceraian dan pelbagai lagi kecurangan sosial lain, semuanya terjadi akibat kelusuhan integriti dalam diri individu.
Apabila seorang individu sudah tidak berintegriti – tidak mempunyai ketelusan, sudah hilang kejujuran, siapakah yang perlu dipersalahkan? Ibu bapa, rakan sebaya, guru atau masyarakat?
Apa sahaja kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, komuniti, organisasi segalanya bermula daripada goyahnya kekuatan dalaman seorang individu. Keluargalah yang bertanggungjawab membimbing tingkah laku dan memantapkan integriti anggotanya kerana keluarga adalah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri individu.
Nilai keluarga dan komuniti masih kukuh dalam masyarakat walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.
Dari segi sosial, persekitaran hidup kita kini berbeza. Terutama remaja, dahulu cabarannya berbeza dengan sekarang. Kini hampir semua perkara boleh dimuat turun di Internet. Hasil pendedahan media, cabaran yang dihadapi remaja kini lebih luas berbanding zaman dahulu.
Seperkara lagi yang jelas mengenai perubahan sosial masyarakat ialah hubungan kejiranan. Jika dahulu sesama jiran mengenali satu dengan lain, berinteraksi setiap masa, tapi kini jiran sebelah pintu pun sudah tidak kenal.
“Jika dahulu, ada anak nakal dan ditegur jiran, ibu bapa tidak akan mempersoalkannya, tapi kini guru menegur pelajarnya juga silap hari bulan dimarahi ibu bapa pelajar!”
Namun keadaan tidak boleh dipersalahkan kerana sistem keluarga dan komuniti berubah mengikut arus semasa. Sebaliknya keluarga itu sendiri perlu memberi penekanan untuk melahirkan kehidupan sejahtera yang mempunyai daya tahan kukuh terhadap apa jua cabaran yang datang.
Asuh Anak Sejak Kecil
Didikan agama dapat menanam nilai terpuji dalam diri. Ketakwaan tanpa mengira agama, merupakan benih utama integriti dalam diri individu.
Jika sejak kecil anak diajar mencuri itu salah, walaupun bila berada di luar rumah dengan kawan yang ajak anak kita mencuri, dia secara automatik dapat berfikir sendiri bahawa mencuri itu berdosa.
Tumpuan pembentukan nilai murni harus bermula daripada kanak-kanak. Di sinilah ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan untuk membimbing dan menjadi teladan yang baik.
Sebagai contoh yang dekat dalam masyarakat, ibu bapa menyuruh anak belajar atau mengulang kaji pelajaran, namun dalam masa yang sama ibu bapa menonton televisyen. Secara sedar atau tidak, ibu bapa hanya berkata-kata tanpa menunjukkan contoh yang sepatutnya.
Sebaliknya jika kita mengharapkan anak belajar dan mengulang kaji pelajaran, apa kata beri tumpuan kepadanya. Anda boleh duduk berhampirannya sambil membaca buku atau sekurang-kurangnya akhbar. Barulah si anak rasa ibu bapanya benar-benar maksudkan masa itu adalah peruntukan untuk belajar.
Masa berkualiti bersama keluarga turut membantu membina keperibadian baik dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan dalam diri individu. Masa makan adalah waktu terbaik untuk berbicara sesama ahli keluarga.
Bagaimanapun kini budaya makan bersama keluarga sudah makin terhakis. Anda boleh mencuba beberapa aktiviti yang dapat merapatkan hubungan kekeluargaan seperti:
• jadualkan masa hujung minggu untuk aktiviti bersama keluarga
• bersenam bersama secara konsisten
• selalu bawa keluarga keluar bersiar
• sentiasa fikirkan cara menghargai ahli keluarga seperti sambutan hari jadi dan lain-lain.

