Tak sedar ‘dibius’ persembahan bertenaga Westlife selama 2 jam!

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PUAS dan cukup mengagumkan! Itulah gambaran perasaan yang menyelebungi peminat saat menonton konsert kumpulan pop Ireland terkenal dunia, Westlife.

Seramai 16,000 peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur iaitu lokasi konsert Westlife The Wild Dreams Concert in Malaysia yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Februari lalu.

Ditubuhkan pada 1998, Westlife merupakan boyband kegilaan peminat dalam dan luar negara yang kini berusia antara awal 30-an dan ke atas.

Penulis berpeluang menerima jemputan daripada penganjur, Trumpet International untuk menghadiri konsert yang dianggotai empat jejaka tampan ini pada hari pertama.

Tempat duduk di dewan Axiata dipenuhi dengan penonton seramai 8,000 orang yang tidak berhenti menyanyi bersama Westlife. Biarpun durasi konsert hanya dua jam, namun ia sudah cukup mengimbau kembali zaman remaja ketika lagu-lagu mereka sedang hit.

Membuka tirai pentas menerusi lagu dari album studio ke-12, Wild Dreams iaitu Starlight yang diterbitkan pada 2021.

Seterusnya, Westlife tidak lupa untuk mendendangkan lagu hit antaranya Uptown Girl, When You’re Looking Like That, Fool Again, If I Let You Go, Crazy dan I Lay My Love On You.

Salah seorang anggota kumpulan Westlife iaitu Shane Filan meluahkan rasa teruja dan gembira kerana diberi peluang untuk kembali ke Malaysia.

Masakan tidak dia begitu tidak sabar selepas mengetahui peminat di negara ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya mereka sejak tahun 90-an hingga kini.

“Kami tak sangka dapat kembali ke Malaysia selepas empat tahun. Terima kasih kerana menjadikan kami sebahagian daripada muzik anda.

“Kami sudah buat persembahan di merata negara tapi kami tidak pernah lupakan Malaysia. Kami ingin kongsikan momen gembira ini dengan keluarga di Ireland.

“23 tahun lalu, single pertama kami dilancarkan. Kami ingin semua yang menonton persembahan kami ini kembali muda,” katanya.

Selain Shane, Westlife turut dianggotai oleh Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily.

Set kedua persembahan, Westlife membius penonton dengan seleksi lagu ‘berhantu’ My Love, Swear It Again, What About Now, Seasons In The Sun, Flying Without Wings, You Raise Me Up, World of Our Own, Mandy dan Hello My Love.

Biarpun anggota Westlife sudah menginjak usia 40-an, namun kekuatan persembahan dan kualiti vokal mereka berkelas A!

Malah, Westlife juga ‘menghidangkan’ persembahan lagu medley dari kumpulan legenda ABBA antaranya Mamma Mia, Gimme! Gimme! Gimme!, Money, Money, Money, Money, Waterloo dan Dancing Queen.

Peminat juga terpesona dengan empat busana berbeza daripada Westlife yang menunjukkan mereka bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik tak hanya dari segi vokal shaja.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Kalaulah suami saya masih hidup”… Laila Nasir sebak terima menantu sulung

Tiada yang lebih menggembirakan pelakon senior Laila Nasir, 55, apabila selamat menerima menantu sulungnya pada 6 Jun Lalu dalam...

More Articles Like This