Lebih 30 tahun bertakhta, kumpulan Spider bakal cetus fenomena menerusi konsert mega Spideraya

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENTAS hiburan serantau bakal menerima satu lagi kejutan epik hujung tahun ini apabila kugiran legenda berteraskan rock dan ska, Spider, disahkan akan menggegarkan ibu kota menerusi sebuah persembahan berskala stadium.

Mengangkat jenama Spideraya, acara ini dijanjikan bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya satu festival gemilang bagi meraikan lebih tiga dekad dominasi mereka di persada muzik tempatan.

Dianjurkan oleh jenama acara berprestij, B7 Resources Sdn Bhd, konsert mega yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada 26 September depan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula pukul 8.30 malam.

Ia bakal menjadi medan penyatuan buat para peminat tegar untuk bersama-sama merasai magis empat serangkai Tam, Aie, Iss, dan Pown yang telah sekian lama menjadi arkitek kepada memori zaman remaja pelbagai generasi.

Menyedari impak besar kugiran tersebut di pentas serantau, wakil penganjur dari B7 Resources, Khairul Afizi atau lebih dikenali sebagai Khai, menegaskan pemilihan Spider bukanlah satu keputusan yang sukar.

Reputasi cemerlang mereka membolehkan penganjuran berskala besar ini direalisasikan dengan penuh keyakinan.

“Keampuhan jenama Spider itu sendiri sudah memadai untuk kami membawakan persembahan ini ke peringkat stadium.

“Menyorot kembali karya-karya mereka dari era album Ngam Ho pada 1998 sehinggalah ke naskhah Ankabut pada 2016, terbukti kualiti muzik mereka tidak pernah ditelan zaman.

“Walaupun tiada material baharu diterbitkan dalam tempoh sedekad yang lalu, deretan hits mereka tetap mendapat tempat.

“Spider tidak perlu ‘menjual’ nama secara agresif kerana legasi dan kredibiliti muzik itu sendiri yang sentiasa meletakkan mereka di carta teratas liga hiburan tanah air,” katanya.

Tambahnya, pemilihan nama Spideraya adalah satu perlambangan tepat kepada evolusi muzik kumpulan kelahiran Johor Bahru itu yang terus subur dinikmati tanpa sempadan usia, daripada kelompok Milenial hinggalah ke telinga Generasi Z.

Sementara itu, vokalis utamanya, Tam, menyifatkan persetujuan untuk bekerjasama menjayakan konsert ini didorong oleh keserasian visi antara pihak kumpulan dan penganjur.

“Bagi Spider, setiap langkah yang diambil perlu mendatangkan nilai tambah kepada kelestarian industri muzik.

“Untuk sekadar naik ke pentas dan menghiburkan audiens semata-mata adalah satu tugas yang mudah.

“Namun, prinsip utama kami dalam berkarya adalah untuk memastikan setiap kemunculan itu meninggalkan impak yang berbekas dan positif, bukan sahaja buat para peminat tetapi untuk keseluruhan ekosistem seni.

“Kami memandang serius kelangsungan industri ini, lebih-lebih lagi melibatkan produksi berskala mega di Bukit Jalil kelak. Peminat boleh menjangkakan sebuah konsep perayaan muzik holistik yang pastinya sukar untuk dilupakan,” ujarnya.

Bagi menghangatkan lagi keterujaan, jualan tiket telah pun dibuka. Menariknya, penamaan kategori tiket diambil terus daripada judul-judul lagu malar segar yang cukup sinonim dengan mereka. Penonton boleh memilih pelbagai kelas tiket yang merangkumi kategori Kita Satu (RM148), Aladin (RM158), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238), dan Nazraku (RM268).

Buat pengikut setia yang enggan terlepas peluang merakam sejarah bersama Spider, pembelian tiket boleh dibuat secara eksklusif menerusi platform rasmi di www.ticket2u.com.my/spideraya.

Para peminat dinasihatkan untuk segera mengamankan pas masuk masing-masing bagi mengelakkan kekecewaan dalam merebut tempat di perayaan muzik terhebat tahun ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This