KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) menegaskan telah membuat persiapan awal bagi Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi pada 22 hingga 24 Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara persiapan yang dilakukan adalah dengan mengadakan beberapa siri perbincangan antara KLN dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, ia termasuk pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi di KLN setelah mendapat cadangan tarikh lawatan.
“Cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu di pihak Arab Saudi.
“Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan yang telah diadakan di atas.
“KLN turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin- pemimpin asing dalam bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan.
Baca lagi: Lawatan Anwar ke Arab Saudi ‘kesilapan diplomatik yang besar’ – KJ
Mengulas lanjut, Zambry berkata, KLN turut telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac 2023 yang mengesahkan tarikh Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi.
Katanya, Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.
Jelas beliau, kedua-dua Nota Diplomatik tersebut merujuk kepada Lawatan Rasmi Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud.
Zambry berkata, kedua-dua Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah.
“Secara keseluruhannya, program-program Lawatan Rasmi Perdana Menteri telah berjalan dengan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac 2023.
“Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).
“Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri.
“Kemudahan-kemudahan tersebut juga turut disediakan semasa ziarah di Madinah Al-Munawwarah,” katanya.
Zambry memaklumkan, Delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi.
Begitupun, katanya, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.
Jelas beliau, ia termasuk Majlis Iftar bersama Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023.
“Lawatan Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.
“Dalam konteks ini, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL) dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB).
“Semasa di IsDB, Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama dalam satu majlis yang dihadiri seramai lebih 300 orang tetamu termasuk Presiden pertama IsDB serta tokoh-tokoh ilmuan dan pakar-pakar ekonomi dan kewangan,” ujar beliau.
Zambry berkata, KLN telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.
Jelas beliau, berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, Malaysia sentiasa menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik.
“Dalam konteks ini, KLN menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

