PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian dan jabatan kerajaan menganjurkan majlis ilmu di pejabat masing-masing bagi menghidupkan semangat Ramadan
Berucap pada program Ihya’ Ramadan di Masjid Putra hari ini, Anwar berkata beliau telah mengarahkan semua ketua setiausaha (KSU) dan ketua jabatan untuk melaksanakan program ilmu seperti takzirah sebelum solat Zuhur.
Semua menteri dan timbalan menteri beragama Islam telah diminta untuk menyertai program-program ilmu yang dianjurkan oleh kementerian dan jabatan, kata beliau.
“Usul saya kepada seluruh jentera seluruh negara untuk beri makna kepada Ramadan ini dengan menambah usaha menghidupkan, menyegarkan bulan Ramadan seperti mengadakan majlis (ilmu),” kata beliau yang akan menyertai program ilmu di Kementerian Kewangan esok.
Anwar berkata beliau juga telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar supaya menyenaraikan penceramah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi menyertai majlis ilmu di kementerian dan jabatan.
“Jangan ada penyimpangan dalam (majlis ilmu itu) kerana semangat Ramadan bukan untuk mencerca atau bawa sentimen parti sebaliknya perlu bawa semangat penyatuan Ramadan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata setiap kementerian dan jabatan bebas menentukan bentuk dan penceramah pada majlis ilmu yang akan diadakan di pejabat masing-masing itu.
Pada majlis itu, Anwar menyertai lebih 1,000 jemaah di Masjid Putra di sini menunaikan zuhur dan mendengar tazkirah yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.
Sebelum meninggalkan majlis, beliau menitipkan pesanan untuk semua penjawat awam supaya segera balik ke pejabat masing-masing bagi menyambung tugasan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram