MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan kenyataannya sebelum di sewaktu sidang Parlimen berhubung pengurangan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah.
Ia susulan usul daripada Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) untuk merujuk Nik Nazmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul tersebut dibuat terhadap Nik Nazmi yang disifatkan menghina majlis dan ahli dewan di bawah Perkara 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Nik Nazmi memaklumkan, beliau telah pun menghantar penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebagai maklum balas kepada usul tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, jawapannya pada 29 Mac lalu telah disediakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang mengumpul data tanah rizab Melayu oleh pihak pentadbiran tanah negeri setiap tahun.
Beliau turut menyertakan surat daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah bertarikh 30 November 2022 kepada JKPTG yang menyatakan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah seperti yang telah dinyatakannya dalam jawapan tersebut.
Jelas Nik Nazmi, JKPTG tidak menerima maklumat tambahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah dari 1 Disember sehingga 29 Mac lalu.
Baca artikel berkaitan: JPS laksana pelarasan projek PLSB kurangkan impak banjir – Nik Nazmi
“Maklumat tentang keluasan tanah rizab Melayu Kedah meningkat sebagaimana dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sik tidak dikongsikan dengan pihak JKPTG.
“Saya telah menyatakan angka yang disediakan JKPTG berdasarkan maklumat Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah dan saya yakin dengan kerja penjawat awam yang terlibat di peringkat Persekutuan serta negeri,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata beliau turut mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung peningkatan tanah rizab Melayu di negeri itu dari 1933 hingga hari ini.
“Namun, memandangkan beliau mula menjadi Menteri Besar pada tahun 2020, tentulah angka dari tahun 2021 hingga 2022 menjadi tumpuan berbanding ketika era British dan jajahan Jepun atau Siam pada Perang Dunia Kedua,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Tarmizi mengemukakan usul terhadap Nik Nazmi untuk merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Nik Nazmi pada 29 Mac lalu memaklumkan, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurun antara tahun 2021 dan 2022.
Beliau menjelaskan, tanah rizab Melayu di Kedah berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.
Semalam, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan Nik Nazmi, dengan menyatakan data hingga 19 Januari lalu menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di negeri berkenaan meningkat 408 hektar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

