Bersama tanding 15 kerusi, cabar UMNO dan PH di Johor

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PARTI BERSAMA yang diterajui bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Menurut kenyataan bersama mereka hari ini, pemilihan kerusi dibuat berdasarkan hasil kaji selidik dan analisis data yang dijalankan sepanjang enam bulan lalu, selain mengambil kira kekuatan organisasi parti, kesesuaian calon serta kemampuan mengendalikan kempen secara berkesan.

Daripada 15 kerusi yang disenaraikan, Bersama bakal berdepan penyandang daripada UMNO, DAP, PKR dan Muda, sekali gus memberi isyarat bahawa parti itu bersedia mencabar kedua-dua blok politik utama di negeri berkenaan.

Kerusi yang akan ditandingi ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.

Sebanyak lapan daripada kerusi berkenaan kini disandang UMNO, lima oleh DAP, manakala masing-masing satu oleh PKR dan Muda.

Rafizi dan Nik Nazmi berkata, pemilihan kawasan itu turut mengambil kira sambutan terhadap Bersama berdasarkan pertumbuhan keahlian mengikut unit Parlimen serta kecenderungan ahli di kawasan terbabit.

“Selain itu, penilaian turut dibuat terhadap kesesuaian calon daripada kalangan perintis Bersama di Johor dan calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding,” menurut kenyataan itu.

Mereka memaklumkan senarai calon akan diumumkan pada Jumaat ini jam 8 malam di Johor Bahru bersempena pelancaran Trak Kancil, dengan lokasi majlis akan diumumkan kemudian.

Dalam masa sama, Bersama membuka pendaftaran kepada ahli dan orang ramai yang berminat menyertai jentera pilihan raya parti itu di semua 15 kerusi berkenaan.

Sistem pendaftaran ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) juga sudah dibuka menerusi platform dalam talian parti, termasuk proses latihan serta pengemukaan dokumen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut kenyataan itu, sistem kempen bersepadu Bersama akan mula beroperasi esok bagi membolehkan sukarelawan dari seluruh negara memilih aktiviti kempen yang ingin disertai mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis program.

Rafizi dan Nik Nazmi berkata, Bersama berhasrat memperkenalkan model kempen pilihan raya moden yang lebih bergantung kepada penyertaan sukarelawan dan mobilisasi akar umbi berbanding perbelanjaan besar.

“Bagi Bersama, PRN Johor 2026 bukan sekadar medan merebut kerusi dan jawatan politik, sebaliknya peluang merintis budaya politik yang lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah rakyat serta masa depan negara,” kata mereka.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This