Pandai dan bijaknya budak itu. Anak siapa agaknya dia? Pasti bangga hati ibu bapa yang melahirkan anak yang sedemikian. Bagaimana pula hati ibu bapa yang mendapat anak yang degil dan sering menjadi cercaan orang, pasti hati akan terguris.
Di sini terletaknya tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk anak-anak agar menjadi insan yang beriman atau anak yang cemerlang dalam segala bidang serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Sabda Nabi yang bermaksud:
Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan anak yang soleh yang mendoakan baginya. – (Riwayat Muslim dan Abu Hurairah).
Firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.
Anak ini dilahirkan fitrah. Mereka juga dilahirkan ibarat seperti kain putih dan terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Begitu juga tugas mendidik anak sehingga mereka menjadi anak yang cemerlang juga adalah tanggungjawab ibu bapa.
Konsep anak cemerlang daripada perspektif agama Islam ialah anak yang soleh (baik), iaitu baik dari segi agama dan akhlaknya, baik dari segi akademik dan baik dari segi jasmani, rohani dan emosinya.
Untuk melahirkan anak yang cemerlang ini memang sukar kerana kita perlu seimbangkan semua perkara. Tapi jika kita tidak dapat memenuhi kriteria sepenuhnya dapat sedikit pun jadilah.
Menyentuh mengenai faktor genetik untuk mendapat anak yang cemerlang, kemungkinan faktor genetik ibu bapa yang pandai bakal mendapat anak yang cerdik itu memang ada tapi bukanlah 100 peratus. Itu sebabnya Rasulullah tidak menggalakkan kita berkahwin sesama sepupu.
Cara Untuk Mendapat Serta Menjadikan Anak Cemerlang
Untuk mendapatkan anak yang cemerlang dan soleh perlu melalui beberapa proses iaitu:
1. Ketika memilih jodoh atau mencari pasangan untuk berkahwin
Perlu diperhatikan kepada empat perkara:
● Keturunannya
● Agamanya
● Kecantikannya
● Hartanya
Sekiranya tiada mencukupi kesemuanya, maka pilihlah yang beragama kerana wanita yang beragama akan membahagiakan dan melahirkan anak-anak yang soleh.
2. Ketika hamil
Di antara amalan yang boleh dilakukan ketika hamil ialah:
● Melakukan sujud syukur di atas kurniaan Allah.
● Memperbanyakkan taubat dan beristighfar di atas dosa-dosa yang dilakukan.
● Menjauhi perkara maksiat, mungkar dan khurafat.
● Banyakkan membaca al-Quran. Di antara surah-surah tersebut – Yasin, Surah Maryam, Surah Luqman, Surah Yusuf, Surah Muhammad, Surah at-Taubah.
● Berdoa dan bertawakal.
● Banyakkan makan kismis dan kurma.
● Jaga tingkah laku dan percakapan kita.
3. Selepas kelahiran lakukan akikah dan memberikan nama yang baik
Sabda Nabi tentang akikah yang bermaksud:
Daripada Ummu Karaz al-Ka’bah katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda,
“Diakikahkan untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama umurnya dan diakikahkan untuk anak perempuan pula seekor kambing.”
Sabda Nabi tentang beri nama yang bermaksud:
Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w.,
“Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikannya nama yang baik dan memperelokkan adabnya.”
● Sambil menyusukan anak bacalah al-Fatihah serta Surah Alam Nasrah agar dia senang mendengar kata-kata kita.
● Bila hendak tidur usaplah kepala anak dan bacalah Qulhuwawlah, al-Fatihah dan Alam Nasrah serta dihembuskan bacaan ini di atas ubun-ubunnya.
4. Penyusuan ibu amat bermanfaat dari segi agama, psikologi dan kesihatan
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
“Dan para ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakannya.”
5. Pendidikan keimanan
● Ibu bapa hendaklah mengikat hati dan akal anak dengan dasar keimanan kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat, syurga dan neraka.
● Biasakan anak dengan amalan ibadah dan akhlak yang baik – menjaga solat, membaca dan memahami al-Quran, menghormati orang lain dan selalu berkasih sayang. Suruhlah anak-anak solat ketika umurnya sudah mencecah tujuh tahun.
Sabda Nabi yang bermaksud:
“Suruhlah anak-anak kamu sembahyang Ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan pada usia mencapai 10 tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.”
● Mengajar mereka tentang perkara halal dan haram kerana jika mereka terpesong pun mudah untuk berpatah balik berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai asas didikan agama sejak kecil lagi.
● Membiasakan diri dengan riadah dan sukan.
6. Pendidikan ilmu/akademik
Untuk membina kemahiran dan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat.
7. Masak untuk keluarga
Kalau tidak sempat setiap hari sekali-sekala itu cubalah memasak untuk anak-anak. Sambil memasak itu bolehlah kita berdoa agar anak-anak kita akan mendengar kata-kata kita sebagai ibu bapanya.
8. Tidak boleh mempercayai kata-kata anak 100 peratus
Sebaliknya perlu ada sedikit keraguan pada anak-anak dengan memerhatikan pelajaran dan tingkah lakunya.
9. Disiplin dan ketegasan perlu ada untuk mendidik anak
Sebagai ibu bapa kita tidak boleh kalah dengan tangisan mereka. Tapi janganlah terlalu berkeras sangat dengan anak-anak dan lihatlah keadan yang bersesuaian.

