Menjadi impian setiap ibu bapa untuk memiliki anak yang pintar. Namun, tidak ramai ibu bapa yang mengetahui cara terbaik bagaimana merealisasikan impian mereka itu.
Menurut Pensyarah Kanan / Pakar Psikologi Klinikal dari Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, untuk membentuk anak cemerlang, gabungan agama dan duniawi adalah kombinasi sempurna yang perlu dilakukan ibu bapa. Berlandaskan panduan hidup tersebut, insya-Allah impian untuk memiliki anak cemerlang dapat direalisasikan.
Dalam usaha mendapatkan anak yang cemerlang, seharusnya ibu bapa perlu membuat persediaan semenjak anak masih berada di dalam kandungan. Langkah ini perlu memandangkan bukan mudah mencari anak pintar secara ‘automatik’. Ini kerana kebanyakan anak pintar adalah hasil daripada ibu bapa yang pintar menguruskan kawalan emosi positif dan negatif, memperbanyakkan aktiviti sihat secara fizikal, mental serta spiritual sepanjang tempoh kehamilan.
Sebagai contoh, daripada aspek emosi, ibu sewaktu hamil dan mengalami kemurungan boleh mengganggu proses perkembangan bayi akibat emosi dan hormon si ibu. Pendek kata, apa sahaja yang dilakukan si ibu bakal memberi kesan kepada bayi dalam kandungannya.
Tidak hanya perbuatan atau tingkah laku sewaktu hamil, amalan pemakanan turut memainkan peranan penting dalam pembentukan minda si kecil sewaktu dalam kandungan. Bagi sesetengah kaum, amalan memakan badam, kismis, susu, minyak ikan dan sebagainya dipercayai baik untuk membantu perkembangan minda dan emosi positif anak yang bakal dilahirkan kelak.
Didikan terbaik selepas anak dilahirkan sebenarnya tidak hanya berkisar terhadap soal akademik semata-mata. Didikan untuk anak-anak ini sebenarnya merangkumi aspek yang sangat luas. Perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan spiritual adalah sama penting sebenarnya dalam mendidik anak-anak.
Sebagai contoh, seorang ibu yang berkomunikasi dengan anak-anak dalam intonasi suara lembut boleh mendidik anak-anak menjadi seorang yang mudah didekati. Malah, didikan secara fizikal pula mampu membawa anak-anak tersebut belajar mengenali ikan dan sayur oleh bapanya.
Selain itu, bermain bola di padang juga adalah satu cara didikan yang boleh dipraktikkan kerana langkah tersebut secara tidak langsung dapat melahirkan anak-anak yang bukan hanya mempunyai daya tindak yang baik tetapi juga mempunyai kemahiran sosial yang menyenangkan.
Seimbangkan Kehendak Dan Naluri Anak-Anak
Dalam memastikan kecemerlangan anak-anak, kebanyakan ibu bapa sering meletakkan harapan yang tinggi hinggakan tidak sedar perbuatan mereka itu akhirnya memberi impak atau kesan negatif pada diri anak-anak. Realitinya, desakan yang berterusan tanpa perbincangan rasional atau diseimbangkan dengan kehendak aktiviti seorang kanak-kanak boleh menyebabkan mereka memberontak, tertekan atau mengalami kesan psikologi dan biologi negatif seperti sakit perut, selesema atau tidak mahu ke sekolah.
Langkah terbaik yang harus dilakukan oleh ibu bapa adalah menyeimbangkan keperluan akademik dengan kehendak naluri anak-anak seperti ingin keluar bermain bersama rakan–rakan, diberi penghargaan apabila membuat perkara kebaikan serta menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.
Adalah sukar untuk anak-anak cemerlang di dalam akademik dan sahsiah apabila ibu atau bapa sibuk dengan kerjaya tanpa mengambil tahu urusan keluarga. Usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam membentuk nilai-nilai hidup yang tinggi datangnya daripada pemikiran, pergaulan dan tingkah laku ibu bapa itu sendiri dahulu.

