AKSINYA yang manja dan ada kalanya nakal, menjadikan makhluk berbulu ini sering menjadi haiwan peliharaan yang bukan sahaja sebagai teman, bahkan ada yang menganggapnya sebahagian daripada ahli keluarga.
Namun tidak semua haiwan comel ini bertuah, disayangi dan dipelihara dengan baik oleh penggemarnya. Ada diantaranya hidup terbiar dan terpaksa mencari makan sendiri dengan berbekalkan ihsan orang sekeliling.
Jika sedikit beruntung, maka hiduplah dia dalam persekitaran sihat meski hanya segelintir. Tetapi, masih banyak lagi yang mengalami nasib kurang baik apabila kekurangan makanan, sakit, dipukul tanpa belas bahkan ada yang hanya menunggu masa untuk mati.

Tidak mahu nasib buruk ini terus membelenggu kucing-kucing jalanan ini, sepasang suami isteri membuka ‘pintu harapan’ bagi melindungi, merawat bahkan mencurahkan kasih buat ribuan kucing.
Mohd Taufik Md Zain dan Noor Azlina Abu Bakar mencurahkan sepenuh masa dan tenaga dengan membina sebuah pusat perlindungan kucing yang diberi nama Bustana Kucing.
Terletak di kawasan Taman Ular dan Reptilia, Perlis, Bustana Kucing yang mula beroperasi pada tahun 2015 ini, bagaikan ‘syurga’ yang menempatkan lebih 1,600 ekor kucing jalanan. Di sini, mereka dijaga sepenuhnya dengan baik.

Rawat di tujuh wad berbeza
Ketika kunjungan WANITA ke Bustana Kucing baru-baru ini, pasangan berusia 60 tahun ini sedang sibuk merawat beberapa ekor kucing yang sakit. Kucing-kucing ini diasingkan dan ditempatkan di Wad Kuarantin yang dibahagikan kepada tujuh jenis wad.
“Di Bustana Kucing, kami menyediakan tujuh jenis wad yang terbahagi kepada beberapa bahagian rawatan. Antaranya Wad ICU yang dikhususkan untuk kucing yang lemah, luka-luka teruk dan mengalami penyakit infeksi virus FIP (Feline Infectious Peritonitis).

“Selain itu, kita juga merawat kucing yang dijangkiti penyakit berbahaya sporo dengan mewujudkan Wad Sporo. Untuk kucing yang mempunyai masalah selsema, ulser, luka-luka kecil dan lain-lain masalah tidak serius, mereka akan ditempatkan dalam Wad Sakit Biasa,” ujar mantan jurutera ini.
Di samping wad ini, Bustana kucing juga mempunyai Wad Pemulihan yang dikhususkan untuk kucing cacat, kucing kurap teruk, kurus dan baharu dikeluarkan daripada ICU. Manakala, bagi ibu kucing yang bunting, mempunyai anak kecil dan anak kucing yang tiada ibu semasa diterima, akan ditempatkan di Wad Ibu dan Anak Kecil.
“Setiap hari inilah rutin kami di sini, merawat dan membersihkan kawasan wad serta dua rumah kucing sihat. Dengan tenaga 28 orang pekerja, setiap pagi kami akan menguruskan kucing-kucing di wad dengan merawat dan juga membersihkan kawasan wad.

“Begitu juga di rumah kucing sihat yang kita bahagikan kepada rumah kucing jantan dan rumah kucing betina. Kami terpaksa asingkan kucing-kucing ini bagi mengelakkan pembiakan. Di kawasan rumah kucing ini, kami meletakkan beberapa orang pekerja bagi menguruskannya.
“Dengan bilangan kucing yang banyak ini, kami perlu memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan terjaga. Kucing sihat dan yang sakit juga perlu diasingkan bagi mengelakkan jangkitan,” jelasnya lagi.
Terima apa sahaja keadaan kucing
Berbicara lanjut mengenai dunia kesayangan mereka, Taufik dan Azlina memberitahu, hampir keseluruhan masa harian mereka digunakan sepenuhnya di Bustana Kucing. Bermula dengan minat, mereka kini menjadi inspirasi buat mereka yang berkeinginan mewujudkan pusat perlindungan kucing.
“Asalnya kami hanya memelihara kucing di rumah, ketika itu kami mempunyai lebih kurang 150 ekor kucing. Suatu hari, kami ditawarkan untuk membuka pusat perlindungan kucing yang membolehkan orang lain datang untuk melihat sendiri kucing-kucing jalanan ini.

“Ketika itu ada kekosongan tempat di Taman Ular dan Reptilia, Perlis. Dengan bantuan beberapa pihak, kami berjaya buka Bustana Kucing. Sejak itu, ramai yang mula hantar kucing-kucing jalanan di sini, daripada ratusan hinggalah kini beribu ekor.
“Meskipun ada suara yang mempertikaikan lokasi pemilihan Bustana kucing ini, kami tidak melihatnya sebagai satu pemasalahan besar. Ada tuduhan ‘nakal’ yang kononnya kucing dijadikan makanan ular dan buaya, ini memang tak masuk akal.

“Jika benar ia berlaku, tidak perlulah saya wujudkan tujuh wad kucing. Ular dan buaya di sini mempunyai makanan yang diternak sendiri oleh pihak Taman Ular dan Reptilia. Malah kucing yang gagal diselamatkan ditaman di sekitar kawasan ini, boleh dikatakan kawasan ini penuh dengan ‘kubur’ kucing,” tegasnya.
Belajar rawat sendiri kucing
Melihat pada kemahiran pasangan ini dalam memberi rawatan kepada kucing-kucing yang sakit, ramai yang pasti yang tidak menjangka mereka bukanlah datang dari latar belakang veterinar.
“Kami bukanlah doktor veterinar, tetapi kami belajar daripada seorang doktor veterinar yang mempunyai sebuah klinik di Jitra, Kedah untuk merawat kucing. Dengan beliau kami belajar merawat dan mengenal ubat terbaik untuk kucing-kucing ini. Meskipun kos agak tinggi, demi beri rawatan terbaik, kami sanggup.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, kami mampu mengendalikan sendiri proses rawatan. Dengan adanya tujuh wad ini, kami cukup berpuas hati kerana dapat merawat sendiri kucing-kucing ini. Melihat mereka sembuh menjadi kepuasan yang sangat berharga,” ujarnya.
Ditanya mengenai kucing-kucing yang dihantar ke Bustana Kucing, Taufik memberitahu tidak meletakkan apa-apa syarat.
“Kami menerima apa sahaja keadaan kucing yang dihantar meskipun sakit, kaki patah, luka-luka, berkurap dan sebagainya. Sebaik sahaja kucing ini dihantar, kami akan memeriksa terlebih dahulu keadaannya. Jika sihat, mereka akan terus dibawa ke rumah kucing.
“Jika awal dahulu kami tidak kenakan bayaran, tetapi ada pula yang ambil kesempatan. Akhirnya kami terpaksa kenakan bayaran ke atas kucing-kucing yang dihantar iaitu RM50 untuk seekor kucing dan RM100 untuk ibu kucing yang sedang bunting.

“Sekurang-kurangnya ia dapat tampung kos makanan kucing meskipun tidak lah mencukupi. Itupun masih ada yang mempertikaikan kadar bayaran, sedangkan mereka tak sedar kos makanan dan ubat kucing agak tinggi,” katanya sambil menyapu bedak kutu pada seekor kucing yang baru sahaja dihantar.
Hargai sumbangan orang ramai
Menyentuh mengenai kos yang ditanggung, pasangan yang memiliki empat cahaya mata ini mengakui, mereka sememangnya memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan ubat, makanan selain kos operasi.
“Kucing di sini boleh dikatakan tidak akan berlapar. Kami akan sentiasa pastikan bekas makanan mereka terisi. Sebab itulah di Bustana Kucing, kami tidak ada cuti, setiap hari bekerja sebab nak pastikan kebajikan kucing ini sentiasa terjamin.
“Kami akan berada setiap hari di Bustana kucing bermula dari waktu operasi 9.30 pagi hingga 4.30 petang. Hanya cuti jika melawat anak-anak dan cucu, itupun jarang-jarang. Boleh dikatakan waktu kami lebih banyak di Bustana Kucing ni.

“Jika bercakap mengenai kos perbelanjaan, sudah tentu memerlukan kewangan yang besar. Kami ada menerima bantuan namun tidaklah mencukupi untuk tampung kos keseluruhan. Sememangnya kami memerlukan sokongan luar untuk menampung perbelanjaan di sini,” tuturnya.
Bagi yang berhasrat menghulurkan sumbangan kewangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 5627 6842 3110 (Kelab Bustana Kucing) atau hubungi Bustana Kucing di 017-4179475 (Azlina).

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

