

BIDAAN nombor plat kereta siri FF mencecah RM34 juta! Kata Yang Berhormat (YB) Menteri, ini satu manifestasi kejayaan pendigitalan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada hasil kerajaan. Terbukti apabila 34 ribu orang membida dengan nilai yang tertinggi dalam sejarah, sehingga sistem e-bida JPJ crashed!
Saya menghormati YB Menteri Pengangkutan. Seorang Menteri yang komited dan gigih bekerja, rajin turun padang. Tahniah YB.
Saya ingin berkongsi pandangan berikutan pengumuman kejayaan bidaan nombor plat kereta ini.
Di sebahagian besar negara maju, plat kereta dikeluarkan oleh kerajaan dengan kualiti dan piawaian yang khusus seperti saiz huruf dan angka, warna, kualiti tulisan yang jelas, tahan lasak, tidak mudah rosak dan berupaya memantul semula apabila terkena cahaya. Yang lebih canggih malah dilengkapi dengan tag RFID.
Kebetulan semalam saya menyertai satu seminar di UKM disampaikan oleh seorang profesor pelawat dari Glasgow yang kepakarannya ialah aplikasi teknologi RFID. Teknologi RFID bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan perniagaan, malah telah mengubah kelaziman urusan kehidupan serta menjadikan banyak amalan sedia ada lapuk.
Sebagai contoh, istilah ‘Plaza Tol’ telah dipadam daripada kamus lebuh raya bertol, tidak lagi kelihatan apabila ia diganti sepenuhnya dengan sistem RFID yang boleh membaca plat nombor kereta yang canggih secara tepat dan terperinci termasuk rekod kemalangan, saman-saman tertangguh dan pelbagai lagi maklumat berkaitan kenderaan berkenaan. Kutipan tol kini dibuat melalui aplikasi teknologi RFID yang terkini.
Baca artikel berkaitan: Menstruktur semula ekonomi negara; masih tak bersungguh, tak bermaya
Tiada lagi istilah sesak di plaza tol, tiada palang penghalang, tiada kios bayaran tol, tiada keperluan memperlahankan kereta, tiada keperluan mencari lorong yang betul (Touch ‘n Go, Smartag, atau RFID), tiada cabaran menghulur tangan untuk menyentuh sensor kad Touch ‘n Go yang mencetus inovasi pemegang kad Touch ‘n Go seperti pemukul lalat. Semuanya dibolehkan dengan plat nombor kereta yang canggih.

Di negara kita, pengenalan RFID di lebuh raya PLUS menjadi kecoh dan heboh sehingga memaksa 3 kaedah pembayaran tol di wujudkan. Semakin menyulitkan.
Sebaliknya ‘kejayaan’ yang dirai ialah hasil bidaan nombor plat kenderaan tertinggi dalam sejarah. Nombor plat kenderaan menjadi rebutan dan mungkin juga sudah ada pasaran jual beli nombor plat. Penciptaan nilai yang tidak hakiki- hanya nombor plat kenderaan.
Inovasi nombor plat di Malaysia luar biasa, pelbagai bentuk dan susunan yang sebahagian besarnya salah di sisi undang-undang. Sistem digital dibangunkan untuk melancarkan proses bidaan nombor plat. Kutipan hasil bidaan dianggap sumber menjana hasil kerajaan. Berbeza sekali keutamaan kita.
Kita memerlukan inovasi yang hakiki, yang mempertingkat kecekapan perkhidmatan awam dan swasta serta memudahkan urusan seharian bukan sekadar membida nombor plat kenderaan.
Diimbas dengan rukun Malaysia MADANI yang ketiga ‘Daya Reka’, jauh lagi perjalanan kita. Tiba masa untuk mengadaptasi teknologi terkini yang mencipta nilai yang hakiki.
MINDA-UKM: Membangun Bersama Malaysia
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram