TIKTOK bukan sekadar medan hiburan kerana ia juga merupakan salah satu platform yang terbaik bagi pemasaran digital berkesan.
Menurut TikTok Guru Chan Foo Kion atau lebih dikenali sebagai Kionz Chan, platform media sosial kegilaan ramai itu memilik ciri-ciri yang berbeza dan unik berbanding platform e-dagang lain.
Hal ini jelas dapat dilihat apabila platform lain sekadar menggunakan gambar sebagai medium pemasaran jauh berbeza dengan TikTok yang menekankan video ringkas, padat dan berkesan dipenuhi maklumat.
Kionz, 39, berkata, peniaga yang sudah “selesa” berada di platform e-dagang tersebut akan mengalami sedikit kesukaran kerana perlu mengubah teknik pemasaran bagi menembusi pasaran di TikTok.
“Oleh kerana itu, cara yang paling cepat dan mudah buat peniaga yang mahu memulakan pemasaran digital di TikTok adalah dengan menguasai penciptaan kandungan, bentuk video, kualiti serta kuantiti video.
“Sebaiknya, anda perlu muat naik video pemasaran sebanyak tiga kali sehari ataupun sekurang-kurangnya sekali sehari.
“Malah, diingatkan juga jangan guna video yang tidak berkaitan dengan perniagaan seperti video haiwan atau suasana yang tidak mempunyai sebarang nilai berkaitan dengan perniagaan anda,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Tegasnya, video yang dimuat naik perlulah memberikan faedah kepada penonton sekali gus dapat memperkenalkan peniagaan kepada orang ramai.
Katanya, peniaga perlulah kreatif dalam pemilihan idea dan pembikinan video bagi mencapai objektif pemasaran.
“Kandungan yang dihasilkan perlulah mempunyai nilai yang boleh membuatkan penonton kenal dan ingat perniagaan yang dihasilkan.
“Selain daripada kandungan pemasaran berkaitan perniagaan, konsep kandungan tersebut juga perlu dipelbagaikan.
“Sebagai contoh jika anda seorang peniaga restoran, anda boleh mencipta kandungan dengan memberi tip, resepi atau pantang larang dalam masakan yang dapat memberi inspirasi kepada penonton,” ujarnya.
Kongsi Kionz lagi, pempengaruh dan peniaga terkenal, Khairul Aming merupakan satu contoh figura terbaik yang menggunakan media sosial sepenuhnya dalam pemasaran digital.
Katanya, Khairul Aming menggunakan platform media sosial dalam menjual dan memasarkan perniagaan Sambal Nyet di TikTok Shop selain turut berkongsi resepi juadah yang mudah dilakukan tidak kira suri rumah, pelajar mahupun orang bujang.
Menurut Kionz lagi, peniaga-peniaga kecil sangat digalakkan dalam memasarkan perniagaan mereka di TikTok kerana penggunaannya yang kian meningkat saban hari.
Ceritanya lagi, peniaga juga perlu tahu cara “menangkap” perhatian penonton ketika menghasilkan video.
“Tiga saat yang pertama adalah sangat penting dalam kandungan video sama ada penonton mahu teruskan menonton video sehingga habis atau tidak.
“Dalam video yang dicipta juga perlulah ada eleman yang dinamakan umpan yang bertujuan memberhentikan penonton supaya mereka tidak melangkau video perniagaan kita.
“Ini adalah cara untuk kita ‘tackle’ algorithm sama ada video yang dibuat akan ditolak ke paparan ‘For Your Page’ penonton atau tidak,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram