SEPERTI diketahui, TikTok adalah sebuah platform media sosial yang menjadi kegilaan ramai dan secara tidak langsung ia juga telah membuka peluang menjana pendapatan.
Sama ada kita seorang pelajar, suri rumah, penghantar makanan, ataupun eksekutif sebuah syarikat besar peluang itu diberikan sama rata tanpa pilih kasih.
Namun, bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam menghasilkan video, perkara paling utama yang perlu diambilkira adalah pengkhususan apa yang ingin ditonjolkan.
Menurut TikTok Coach, Wan Fatin Sufina Wan Ahmad, 49, pencipta kandungan yang baru berjinak dalam dunia perniagaan di TikTok perlu mewujudkan pengkhususan atau ‘niche’ dalam video.
Hal ini kerana pengkhususan yang unik dalam pembikinan video dapat menarik pelanggan yang mempunyai minat yang sama.
“Contohnya jika anda seorang yang menjual barang kecantikan, anda kena tahu apakah fungsi, kebaikan dan ramuan yang terdapat di dalam produk tersebut yang dapat menyelesaikan masalah dihadapi pelanggan,” jelasnya.

Ceritanya lagi, pencipta kandungan yang arif akan pengkhususannya ini dapat mengembangkan jumlah pengikut di laman TikTok dan membantu dalam penjanaan pendapatan.
Menurut Sufina, pencipta kandungan yang konsisten dalam penghasilan video ini juga membuatkan pelanggan yakin terhadap produk yang dijual.
“Perumpamaan sama seperti membuka kedai secara fizikal, anda perlulah membuka hari-hari, baru ada pelanggan,” ujarnya.
Kata Sufina, dia memahami masalah yang sering membelenggu peniaga baharu iaitu takut untuk membuat video rentetan perlu belajar cara menyunting video.
“Saya selalu nasihatkan, jika anda tidak tahu sunting video, maka jangan sunting.
“Buat video ini hanya semudah tekan butang rekod dan rakam. Apa yang penting adalah usaha kita,” ujarnya.
Tambah Sufina lagi, penggunaan lagu yang mengikut trend juga adalah salah satu cara untuk mengembangkan pengikut dan pemasaran produk.
“Apabila guna lagu yang sedang viral, TikTok akan memberi trafik terhadap video kita sekali gus dapat jumlah tontonan yang ramai.
“Bagaimanapun, penggunaan lagu yang trend perlulah seiring dengan kandungan yang bagus, menarik, kreatif dan bermanfaat,” ujarnya.
Dalam pada itu, TikTok Guru Chan Foo Kion atau lebih dikenali sebagai Kionz Chan mendedahkan ada suri rumah berjaya mencecah satu juta jualan dengan keuntungan lebih RM100,000.
Katanya, ia hasil selepas tujuh bulan menjana pendapatan melalui TikTok Affiliate.
Kionz, 39, berkata TikTok Affiliate membuka ruang serta peluang kepada pengguna platform media sosial tersebut tanpa perlu memiliki produk sendiri.
“Malah mereka juga dapat menjana pendapatan tanpa menggunakan modal yang tinggi menerusi TikTok Affiliate.
“Menerusi Affiliate ini, pengguna boleh memasarkan barangan peniaga hanya menggunakan video yang menarik dan kreatif,” katanya kepada UtusanTV.
Tambahnya, ia tidak melibatkan kos pembungkusan atau penghantaran yang mana akan diuruskan sepenuhnya oleh penjual.
“Sekiranya video yang dibuat oleh pengguna TikTok Affiliate itu tular dan ramai pembeli, maka mereka akan menerima komisen di atas jualan tersebut,” katanya.
Selain daripada TikTok Shop, terdapat satu lagi kaedah cara menjana pendapatan iaitu menerusi TikTok Series yang baharu sahaja diperkenalkan.
Menerusi TikTok Series ini, pencipta kandungan dapat menghasilkan video eksklusif, kreatif, lebih terperinci dan berbayar kepada pengguna TikTok.
TikTok Series ini merupakan ciri baharu bagi menjana pendapatan buat pencipta kandungan sekali gus menghargai usaha mereka dalam berkarya.
“Sebagai contoh, seorang tukang masak yang sering berkongsi video resepi dan info mengenai masakan di TikTok dapat menghasilkan kandungan yang terperinci mengenai resepi sesuatu juadah menerusi TikTok Series.
“Jika ada yang berminat, mereka boleh membeli kandungan tersebut di TikTok Series dan ia boleh ditonton setiap masa,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

