Ada ketikanya pesakit malu untuk mendapatkan pandangan kedua untuk menjalani pembedahan. Pasti semua orang pernah mengalami pengalaman yang sama. Kita mendapatkan nasihat daripada seseorang yang pakar seperti doktor, mekanik, tukang paip atau peguam tetapi kita tidak dapat memahami apa dan bagaimana prosedurnya atau penjelasan dari masalah yang kita hadapi.
Mungkin juga mereka ada mencadangkan satu prosedur atau rawatan yang anda tidak yakin mengenainya atau tidak memberi sebarang cadangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Di hospital mahupun klinik, anda mungkin disarankan untuk menjalani suatu rawatan yang terlalu mahal dan mendatangkan banyak risiko. Pada keadaan seperti ini, anda harus meminta pendapat kedua daripada pakar-pakar lain dan ini adalah pilihan terbaik untuk anda.
Rawatan perubatan tidak selalunya muktamad atau mudah dan ia sebenarnya sentiasa ada ruang untuk dibaiki. Dengan ini, mendapatkan pendapat kedua sememangnya mempunyai manfaat untuk pesakit.
Dalam masa yang sama ia turut mendatangkan kebaikkan kepada doktor kerana akan terdapat pendapat dari doktor lain yang mungkin lebih prihatin dalam menganalisis sejarah pesakit atau keputusan ujian pesakit dan mungkin dapat mengesan sesuatu yang tidak dapat di kesan oleh doktor pertama.
Prosedur Apakah Yang Memerlukan Pendapat Kedua
Bagi wanita, terdapat sesetengah isu atau penyakit yang memerlukan diagnosis atau analisis daripada pendapat kedua. Umumnya, jika doktor yang merawat anda memberi cadangan agar proses rawatan itu memerlukan rawatan yang lama, pastinya ada kesan sampingannya atau sekiranya kesihatan anda masih tidak memuaskan selepas berjumpa dengan doktor tersebut anda disarankan agar mendapatkan pendapat kedua daripada doktor lain.
Ini tidak harus dilihat sebagai penghinaan kepada doktor. Amalan perubatan dan kajian ilmiah berkisar secara teliti, di mana doctor dan saintis menghargai pendapat masing-masing dan memberikan kerjasama yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan lebih bertanggungjawab.
Mendapatkan pendapat kedua atau ketiga boleh memberikan maklumat tambahan atau membantu anda untuk melihat situasi dari perspektif yang berbeza. Anda mungkin mendapat lebih banyak pilihan untuk rawatan dan anda boleh menggunakan semua maklumat yang ada untuk membuat keputusan.
Hati-Hati Terhadap Isu Gender
Wanita juga harus berhati-hati ketika berhadapan dengan isu gender tertentu, seperti masalah dengan sistem pembiakan, terutama jika doktor mengesyorkan histerektomi (pembuangan sistem reproduktif atau pembiakan wanita).
Pembedahan pembuangan rahim (sistem pembiakan) hanya perlu dipertimbangkan jika rawatan kaedah perubatan gagal mengatasi masalah penyakit wanita. Jika doktor anda tidak memberi pilihan lain, anda perlu mendapatkan pendapat kedua sama ada pembedahan ini perlu dilakukan atau sebaliknya.
Penyakit jantung juga boleh terjadi kepada jantina tertentu, terutamanya yang telah mempunyai masalah jantung misalnya, tanda-tanda serangan jantung pada wanita biasa sangat berbeza dengan lelaki atau ujian untuk mengesan penyakit jantung mungkin kurang berkesan terhadap masalah jantung pesakit wanita, sehinggakan pesakit itu akan dihantar pulang tanpa diagnosis yang tepat.
Jika anda terus mengalami gejala seperti sesak nafas, tempoh degupan jantung yang cepat dan kelemahan atau kelelahan yang luar biasa tetapi doktor masih tidak dapat mengenal pasti penyebabnya, anda boleh mendapatkan pendapat lain daripada seorang pakar penyakit jantung wanita.
Kanser harus ditangani dengan hati-hati dan perlu mendapatkan banyak maklumat mengenainya. Diagnosa kanser, terutama payudara atau kanser ginekologi bagi wanita penuh dengan tekanan, kegelisahan dan ketidaktentuan seseorang itu terhadap masa depan.
Keputusan untuk melakukan rawatan tidak boleh diambil mudah terutama jika terapi yang agresif yang ditawarkan atau jika disarankan untuk membuang payudara atau rahim sebagai tindakan pencegahan terhadap kanser di masa akan datang.
Ketika mempunyai penyakit seperti kanser, ada banyak kes wanita yang mencari pendapat kedua dari pengamal perubatan alternatif.
Bagaimana Cara Mendapat Pendapat Kedua?
Anda telah memutuskan bahawa anda ingin mencari untuk mendapatkan pendapat kedua. Sekarang, bagaimana anda mencari doktor lain dan apa soalan yang anda ingin ketahui?
Anda boleh bermula dengan meminta doktor atau pakar yang merawat anda untuk mengesyorkan seorang doktor atau pakar kepada anda.
Ini mungkin menjadi suatu rintangan besar bagi pesakit kerana mereka malu untuk melakukan seperti itu kerana mungkin dianggap sebagai suatu penghinaan kepada doktor. Namun, doktor yang merawat anda harus profesional untuk menerima dan membenarkan anda untuk mencari pendapat lain daripada rakan-rakannya.
Jika anda tidak mendapat bantuan daripada doktor anda, anda sendiri boleh mendapatkan khidmat daripada doktor lain. Mungkin juga daripada doktor keluarga anda atau rujukan lain.
Anda juga boleh mendapatkannya dari university atau hospital untuk mencari seorang pakar dalam suatu bidang tertentu. Apabila anda mencari doktor lain, anda perlu mendapatkan nota perubatan daripada doktor yang sebelumnya dan juga memerlukan kebenaran bertulis untuk pengesahan rekod perubatan anda untuk makluman doktor yang baru.
Anda juga perlu menyemak dengan insurans kesihatan anda sama ada setiap ujian tambahan boleh dituntut atau terdapat sebarang syarat yang dikenakan. Ketika anda mendapat khidmat daripada doktor lain, pastikan anda menanyakan semua soalan berdasarkan doktor yang merawat anda sebelumnya, beberapa soalan tambahan jika perlu.
Pastikan anda memberi tumpuan yang lebih ketika mendapatkan pendapat yang kedua bagi setiap permasalahan dan keraguan semasa peringkat yang pertama.
Pendapat kedua yang tepat memerlukan pemeriksaan perubatan yang lengkap, bahkan mungkin ujian tambahan. Bercakap dengan doktor melalui telefon tidak dikira sebagai mendapatkan perkhidmatan pendapat kedua.
Selepas mendapatkan pendapat kedua, anda mungkin merasa kecewa bahawa doktor yang kedua ini menegaskan diagnosa dan rawatan yang sama daripada doktor yang pertama. Namun, pendapat kedua tidak selalunya mengenai pandangan yang bertentangan, dan harus meyakinkan anda jika dua doktor berkelayakan menyetujui langkah rawatan terbaik untuk anda.

