PENYANYI Aina Abdul bersikap terbuka menerima semua teguran susulan penampilannya yang didakwa terlalu berlebihan ketika di karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani,30, dia akui membaca setiap komen-komen dan pendapat yang dikongsikan oleh warganet.
“Biasanya saya jarang sekali nak luahkan isi hati. Hanya berkaitan kerja sajaa yang saya akan kongsi di media sosial.
“Tetapi hari ini saya terpanggil nak tulis sesuatu. Ya, saya baca dan lihat semuanya.
“Saya baca, saya telitikan semua. Saya renungkan setiap teguran yang masuk. Terima kasih kepada semua yang ambil berat, menegur untuk kebaikan dan komen yang memberi semangat,” tulisnya.
Sementara itu, penyanyi lagu Terus Hidup itu berusaha untuk jadi lebih baik selepas ini.
“Saya sangat hargai. Alhamdulillah, saya cuba yang lebih baik selepas ini okay? Buat masa ni, nikmati semuanya, masya-Allah,” luahnya.
Terdahulu, pendakwah Dr Kamilin Jamilin memberi pendapat mengenai sesetengah selebriti yang menggayakan fesyen pelik dan unik sehingga mengundang perhatian ramai dan tergolong dalam kategori libas al syurah.
Menurut pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia itu, pakaian tersebut dilarang dalam Islam kerana ia mendatangkan sifat riyak dan perasaan hebat daripada orang lain.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana artis, namun netizen mula memetik nama Aina Abdul sebagai yang dimaksudkan.
Aina sebelum ini menggayakan blazer merah bersaiz empat kaki lebar pada acara karpet merah ABPBH35 sehingga memerlukan dirinya menaiki lori yang disewa untuk ke lokasi majlis.

