SETELAH lima tahun menyepi dan meninggalkan kerinduan mendalam buat peminat setianya, jenama yang pernah mendominasi landskap drama tempatan selama lebih dua dekad, Gerak Khas kini kembali dengan misi yang lebih mencabar.
Melalui Gerak Khas 2.0, francais ikonik itu secara rasmi membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, sekali gus membuktikan bahawa legasi keberanian dan integriti anggota unit kepolisan tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Diterbitkan hasil kerjasama strategik antara Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions, drama itu kini menemui penonton menerusi saluran TVS.

Di bawah sentuhan pengarah legenda, Datuk Dr. Yusof Haslam, Gerak Khas 2.0 bukan sekadar mahu mengimbau memori lama, malah mengangkat standard penceritaan ke dimensi yang lebih moden, sinematik, dan relevan dengan landskap jenayah semasa.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Gerak Khas telah memahat sejarah dengan 1,054 episod, sekali gus memegang rekod sebagai drama prime time paling lama bersiaran dalam sejarah televisyen negara.
Namun, bagi siri terbaharu ini, fokusnya adalah untuk menyajikan ancaman yang lebih kompleks, seperti serangan siber misteri dan sindiket teknologi tinggi yang dikenali sebagai Black Hydra.
Yusof Haslam yang kembali memegang watak DCP Datuk Helmi menekankan bahawa kebangkitan ini adalah satu evolusi yang perlu bagi memastikan Gerak Khas terus relevan kepada penonton masa kini.

“Kami sedar harapan penonton amat tinggi. Justeru, Gerak Khas 2.0 bukan sekadar kitar semula jalan cerita lama.
“Kami membawa dimensi penceritaan yang lebih mencabar, di mana ancaman yang dihadapi unit ini bukan lagi sekadar jenayah konvensional, tetapi serangan siber yang mampu melumpuhkan sistem komunikasi negara.
“Ini adalah usaha kami untuk terus memberikan karya yang berkualiti, mendidik, dan mampu menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan generasi baharu,” katanya.

Antara elemen paling menarik dalam siri ini ialah pemilihan Sarawak sebagai lokasi utama penggambaran.
Langkah ini bukan sahaja memaparkan keindahan landskap Malaysia Timur, tetapi juga mencerminkan aspirasi TVS untuk membawakan kandungan yang lebih inklusif serta mewakili kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Siri ini juga menjadi platform pertemuan antara dua generasi pelakon. Wajah-wajah yang sinonim dengan francais ini seperti Datuk Hans Isaac, Erra Fazira, C. Kumaresan, dan Salina Saibi akan bergandingan dengan bakat-bakat baharu seperti Anding Indrawani dan Marzella Sigai, mewujudkan kesinambungan naratif yang lebih segar.
Kepada para peminat, pastikan anda tidak terlepas menyaksikan Gerak Khas 2.0 yang bakal menemui penonton bermula 3 Julai ini, setiap Jumaat, pukul 8.30 malam.
Eksklusif di TVS (Saluran 122 di MYTV, Astro, dan Unifi TV), anda juga boleh mengikuti siri ini menerusi aplikasi TVS INSPIRE.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti operasi penuh debaran Unit Gerak Khas dalam mendepani musuh yang jauh lebih licik!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

