KISAH perkahwinan kedua personaliti media sosial iaitu Abang Tesla bukan sahaja mengundang pelbagai komen daripada warganet, bahkan golongan artis turut ‘terpanggil’ untuk menyuarakan pendapat termasuklah pelakon Anzalna Nasir.
Menurut Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir,35, sebagai suami yang menyayangi isteri, perlu menjaga perasaan wanita tersebut lebih daripada orang lain.
“Hidup ini tak perlu mengharapkan lelaki. Berpoligami? Kadang perempuan nampak macam reda tapi dalam hati hanya dia sahaja yang tahu.
“Kalau sayang isteri, cukuplah jaga hati dan perasaan bukan dengan mengahwini perempuan lain.
“Perempuan kalau dah sayang sanggup buat apa sahaja untuk yang tercinta. Balas lah yang sama, hargailah isteri kerana banyak pengorbanan yang kami lakukan. Awas Hanif Zaki,” tulisnya di Instagram story dan berkongsi semula video parodi isu berkenaan.

Dalam pada itu, Anzalna turut memberi peringatan kepada suaminya, Hanif Zaki untuk tidak berkahwin dua dan cuba untuk hidup berpoligami.
Malah, menerusi entri lain di Instagram story, Anzalna berkongsi kembali album perkahwinannya yang satu ketika dahulu pernah tular.
“Buka album lama sebab nak ingatkan suami berapa dia belanja untuk berkahwin dengan saya dan betapa cantiknya saya waktu kahwin sampai tular.
“Tak payah sibuk nak beristeri dua. Saya pun awak tak boleh nak ‘handle’. Emosilah bila tengok benda viral suami tak hargai isteri,” luahnya.

Anzalna dan Hanif berkahwin pada 21 Februari 2016. Hasil perkawinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Eidrees,3, dan Muhammad Emirhan yang kini berusia setahun.
Beberapa hari lalu, media sosial kecoh apabila seorang influencer yang dikenali sebagai Abang Tesla membuat perkongsian video meminta izin isteri pertama untuk berkahwin satu lagi selepas selesai solat Subuh berjemaah.
Video tersebut menyentuh hati ramai netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan Abang Tesla kerana sudah menyakiti hati isteri pertamanya.

