PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang akan diadakan pada hari Sabtu, 7 Oktober 2023.
Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas, hari ini.
Abdul Ghani memaklumkan, tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai pula akan dilaksanakan pada hari Sabtu, 23 September depan.
Menurutnya, pengundian awal ditetapkan pada hari Selasa, 3 Oktober.
Ini bermakna, tempoh berkempen diputuskan seperti pilihan raya lain sebelum ini iaitu selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 23 September sehingga pukul 11.59 malam, 6 Oktober.
“Urusan permohonan semua kategori undi pos dalam dan luar negara dibuka bermula hari ini.
“Bagi menjalankan proses PRK DUN Pelangai, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu tiga orang penolong pegawai pengurus.
“SPR juga akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.
“Pasukan tersebut turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon bertanding,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Tarikh penting PRK DUN Pelangai diumum hari ini
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, seramai 16,456 pemilih akan menunaikan tanggungjawab masing-masing berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan Mei 2023 yang dikemas kini pada 17 Ogos lalu.
Katanya, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi ditetapkan di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong.
Pada masa sama, kata beliau, PRK DUN Pelangai itu memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Isnin lepas, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.
Allahyarham Johari, 53, merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.
Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.
Johari, tokoh korporat bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

