INISIATIF Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengadakan jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress berjaya menarik perhatian orang ramai terutama golongan muda.
Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, bengkel yang dikhususkan kepada anak-anak muda dari peminat muzik, pemuzik dan pencipta lagu/lirik dari umur 15 ke 30 tahun ini berjalan dengan baik dan tersusun.
Ayob yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang promosi artis rakaman berkata, ramai peserta awalnya malu-malu, takut dan kurang yakin untuk menonjolkan diri.
“Namun, apabila sesi ‘jamming’ santai bermula, ada yang memberanikan diri untuk mencuba menyerlahkan bakat yang ada tersimpan.
“Yang lebih penting, mereka teruja dengan beberapa ilmu dan info bagaimana menyertai industri muzik secara bijak samada untuk menjadikan sebagai kerjaya serius pada masa depan atau sekadar hobi.
“Bagaimanapun dalam masa yang sama, ia boleh memberikan pendapatan lumayan hasil dari menyanyi, membuat lagu dan rakaman,” katanya.

Bengkel tersebut mendapat sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang bersama unit Rakan Muda/Rakan Muzik Daerah.
Jejalah tersebut diadakan di lima tempat antaranya Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling dan penutup di Pulau Pinang.
Menerusi bengkel ini juga, banyak tips dan panduan didedahkan oleh panelis yang sudah berpengalaman selama 30 hingga 40 tahun dalam industri muzik dan masih tetap aktif sehingga kini yang diketuai oleh Othman Masri atau nama popularnya Man Senoi.
Man Senoi adalah individu yang menaikkan nama kumpulan rap 4U2C itu membawakan topik cara mudah mencipta lagu, membuat gubahan muzik dengan minimum chord, asas mengenal alat muzik termasuk vokal, cara membuat rakaman dengan mudah menggunakan peranti, komputer riba dan alat-alat home studio.
“Saya kongsikan pengalaman lebih 40 tahun bergelumang sebagai komposer, penerbit dan penggubah lagu.
“Selain itu, saya juga pernah menjadi pensyarah muzik dan teknologi audio di beberapa kolej serta universiti seperti Aswara dan LimKokWing.
“Kolej muzik Icon menjadikan saya berupaya mengenali bakat-bakat anak muda dalam bengkel dan memberikan kaedah-kaedah mudah serta nasihat berkenaan topik,” ujarnya.

Bengkel ini diperkasakan lagi dengan pembabitan Rozman Abas, pemilik syarikat rakaman dan pengedaran digital Loonaq Records, yang bercerita topik berkenaan kenapa dan bagaimana mendaftarkan sesebuah lagu yang sudah dirakam bagi mendapatkan kad pengenalan digital atau ID kode.
“Ini perlu bagi memastikan semua Digital Streaming Platform (DSP) di seluruh dunia dapat mengenali siapakah pencipta lagu/lirik, pelaku (penyanyi/pemuzik) dan pemilik rakaman audio dan video sesebuah lagu yang ditonton atau didengar di alam internet.
“Saya turut menasihatkan anak-anak muda ini agar setiap rakaman yang telah siap sebaiknya didaftar dahulu bagi mengelakkan kita memuat-naik rakaman yang dikategorikan sebagai konten percuma dan terdedah kepada pencurian hakmilik,” jelasnya.

Rozman turut berkongsi kaedah-kaedah membuat pendaftaran samada secara terus atau melantik Badan Pengutip Royalti Persembahan Awam atau melantik pemborong digital (aggregator) bagi memasar atau monetize lagu di Spotify dan lain-lain DSP.
Tambahnya lagi, beberapa tips lain turut dikongsi iaitu pendedahan berkenaan pendapatan pasif dari kutipan royalti pencipta lagu atau lirik dari hak milik rakaman dan dari royalti pelaku rakaman.
“Pengalaman lebih dari 35 tahun dalam perniagaan dan kini mengurus lebih dari 3000 lagu di semua DSP pelbagai genre termasuk nasyid adalah aset berguna yang dikongsi kepada semua yang berminat.
“Saya fokuskan kepada anak-anak muda dan bakat baharu dalam program Rakan Muda dengan nafas baharu yang baru-baru ini dijenamakan semula,” katanya.
Sheikh Qalam, seorang pencipta lagu dan lirik yang pernah memenangi beberapa anugerah Industri Muzik dan berpengalaman sebagai pengurus dan repertoire artis di beberapa syarikat rakaman antarabangsa pula, berkongsi mengenai topik bagaimana membina jenama serta promosi di media sosial.
Dia juga akan berkongsi peluang berkolaborasi penerbitan dengan penyanyi atau artis yang lebih popular.
Dia juga bersama-sama mempelopori program TV popular suatu ketika dulu iaitu Akademi Fantasia dan Maestro Records yang menguruskan semua artis-artis dari Akademi Fantasia.
Selain Kedah dan Pulau Pinang, jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress turut diadakan di beberapa lokasi lain antaranya Kuala Pilah dan Paroi, Negeri Sembilan serta Bukit Beruang, Melaka menerusi kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri terbabit

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

