Jamal Abdillah selar stesen televisyen lewatkan pembayaran kepada penggiat seni – “Dari tahun 80-an isu ini tak pernah berubah, artis juga manusia biasa perlu sara keluarga”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI legenda popular, Datuk Jamal Abdillah kecewa dengan sikap stesen televisyen yang masih lagi tidak melunaskan bayaran biarpun persembahan sudah selesai dilakukan.

Mewakili rakan artis, Jamal menyuarakan rungutan tersebut terhadap pihak TV swasta mahupun kerajaan yang mengambil masa terlalu lama untuk membuat pembayaran kepada penggiat seni.

“Saya bagi contoh macam anak saya, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang diumumkan sebagai pemenang mingguan program Famili Duo, bayaran hanya dapat selepas tiga bulan.

“Kemudian, mereka dinobatkan sebagai juara rancangan realiti tersebut pada Februari lalu dan memenangi wang tunai RM100,000. Tetapi bayaran ambil masa hampir tiga bulan.

“Saya menghubungi Datuk Syed Ali untuk minta dia jelaskan perkara ini…kenapa sampai tiga bulan. Sedangkan artis juga manusia biasa, perlu menyara keluarga, ada bil-bil yang hendak dibayar,” katanya kepada URTV.

Sebagai artis senior, Jamal sudah ‘cukup masak’ dengan sikap stesen televisyen apabila melibatkan pembayaran persembahan.

Menyifatkan senario tersebut masih lagi ditakuk lama dan tidak pernah berubah seiring dengan peredaran zaman, justeru penyanyi Azura itu rasa perlu bersikap tegas dengan menyuarakan permasalahan yang dihadapi penggiat seni secara terbuka.

“Macam saya sendiri, dah ‘masaklah’ dari tahun 70-an, 80-an sampailah sekarang tak pernah berubah. Masih lagi di takuk yang lama juga. Saya tak marah tetapi kenapa rakyat kita sepatutnya lebih maju sekarang ni tapi masih mundur.

“Tak kiralah, Astro ke RTM atau TV3, sikap mereka sama saja apabila berurusan mengenai bayaran.

“Saya sendiri ada bayaran yang belum dijelaskan…sudah dua bulan. Jadi, sebelum orang lain kena lebih teruk, biarlah saya suarakan isu ini untuk kepentingan semua penggiat seni.

“Cubalah fikir, kalau betul caranya, bila penyanyi dah selesai membuat persembahan. Dokumen pembayaran yang diuruskan oleh bahagian kewangan, saya rasa sehari atau dua hari sudah dalam proses. Hari ketiga sudah selesai urusan bayaran kepada artis sepatutnya,” ujarnya.

Sementara itu, Jamal juga mempersoalkan mengenai tindakan stesen RTM yang sebelum ini pernah membuat bayaran secara tunai tetapi ia hanya separuh jalan selepas kerajaan bertukar.

“Dulu RTM ada cuba membayar secara tunai selepas selesai ‘show’. Tapi tiba-tiba bila tukar Menteri dan kerajaan, perkara tersebut terhenti.

“Jadi, kenapa sekali air bah, sekali pasir berubah. Macam itu sajalah sampai bila-bila,” tegasnya.

Tanggung kerugian, RTM sesen tak bayar iklan yang masuk

Pernah menganjurkan konsert Seniman Negara Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab pada 1 hingga 3 Julai 2022 di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Binjamal Event, Jamal yang selaku penerbit terkilan apabila logo syarikatnya tidak diletakkan kredit oleh RTM selepas ditayangkan di stesen TV berkenaan pada 27 Ogos 2022.

Menyifatkan pihak yang bertanggungjawab seolah-olah mengambil mudah tanpa memikirkan impak kepada sesebuah penerbitan.

“Logo Binjamal Event tidak diletakkan sebagai penutup kredit selepas konsert tersebut ditayangkan di RTM.

“Seharusnya, logo syarikat acara yang anjurkan konsert tersebut turut sama di ‘highlight’ sebaik sahaja konsert berkenaan tamat ditayangkan di televisyen.

“Saya rasa sangat besar kerugian di pihak saya. Sudahlah logo yang menganjurkan konsert terbabit tidak ada, pihak RTM ambil kredit pula tanpa pembayaran dari segi iklan-iklan yang masuk setiap kali ‘commercial break’.

“Tidak ada satu bayaran pun diberikan kepada saya, ” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This