RAKYAT Malaysia akan terus dapat menikmati saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka.
Pada masa sama, peluasan penawaran saluran RTM melalui Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM juga akan mula tersedia kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.
Jabatan Penyiaran Malaysia dan Astro dalam kenyataan bersama memaklumkan, bersetuju memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kandungan berkualiti terus dapat dinikmati rakyat Malaysia melalui pelbagai platform penyiaran.
Menurut kenyataan itu, RTM dan Astro komited untuk terus memperluas kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan.
Selain itu, katanya, ia juga bakal memperkasa bakat kreatif negara serta menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan.
“Kedua-dua pihak berpandangan bahawa landskap media massa kini memerlukan pendekatan lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan selaras dengan perubahan teknologi serta corak penggunaan media yang semakin berkembang.
“Inisiatif ini dijangka memperluas akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan.
“Di samping itu, ia juga memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi yang sama untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Seiring perkembangan teknologi serta peningkatan pilihan platform media, kedua-dua pihak percaya kerjasama yang lebih erat antara pemain industri adalah penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat terus diperkasa pada kos yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
“RTM dan Astro yakin kerjasama yang diperkukuh ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, memperkukuh industri media tempatan serta memperluas akses rakyat kepada kandungan yang berkualiti, dipercayai dan relevan,” jelasnya.
Sebelum ini, RTM mengumumkan saluran TV1, TV2 dan TV Okey akan menamatkan penyiaran di platform Astro bermula 1 Julai 2026 selepas hampir tiga dekad kerjasama.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung kadar harga dan kontrak penyiaran yang memenuhi kemampuan kewangan masing-masing, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelanggan Astro mengenai akses kepada saluran penyiar awam berkenaan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

