Jantung gadis kecil ini ‘tumbuh’ semula selepas dibuang, keajaiban yang pernah mengejutkan dunia perubatan  

Dari Penulis

Kisah seorang kanak-kanak perempuan dari Gloucestershire, England bernama Kirsty Collier ini pernah mengejutkan dunia perubatan suatu ketika dahulu yang dianggap mustahil untuk berlaku.

Kirsty mempunyai sejarah perubatan yang dianggap mustahil bagi seorang manusia apabila sebahagian daripada jantungnya telah dibuang. Namun apa yang aneh ialah jantungnya ‘tumbuh’ semula dan perkara ini telah mengejutkan banyak pihak, bahkan turut dianggap sebagai satu keajaiban dalam dunia perubatan moden.

Semuanya bermula pada tahun 1998 apabila Kirsty yang ketika itu berusia empat bulan dikatakan mengalami masalah jantung. Walaupun pada awal kelahirannya Kirsty tidak mempunyai sebarang masalah, tetapi tahap kesihatan kanak-kanak ini mula menurun menjelang bulan-bulan berikutnya.

Tubuh kanak-kanak comel ini dikatakan sering menjadi lebam kebiru-biruan ketika awal usia. Malah ada kalanya dia juga turut diserang sawan serta mempunyai sistem pernafasan dan degupan nadi yang tidak normal.

Kirsty dikesan mempunyai masalah jantung di usia 4 bulan.

Apabila didiagnosis, pasukan perubatan Hospital John Radcliffe, Oxford yang diketuai oleh Dr. Stephen Westaby mendapati jantung kanak-kanak ini mengalami anomali aneh yang membahayakan nyawanya. Kondisi jantung Kirsty tidak sempurna kerana pembuluh darahnya telah bersilang dengan organ lain.

Saluran darah pada bahagian kiri organ berkenaan yang sepatutnya berfungsi membawa darah ke jantung melalui aorta, telah bersambung dengan pembuluh darah paru-paru. Akibatnya, jantung kanak-kanak ini kekurangan oksigen dan membengkak.

Semakin hari, tahap kesihatannya bertambah kritikal. Justeru, pasukan perubatan yang merawat kanak-kanak ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya. Apa yang perlu dilakukan ialah membetulkan semula sistem pembuluh darah jantung dan membuang satu pertiga daripada organ berkenaan yang tidak diperlukan.

Dr. Stephen Westaby yang melakukan pembedahan terhadap Kirsty juga tidak menjangka gadis kecil itu akan mampu untuk terus hidup.

Operasi pembedahan berisiko tinggi itu telah dilakukan selama hampir 12 jam. Pasukan perubatan berjaya melakukan seperti yang dirancang, namun Dr. Stephen Westaby tidak mampu memberi sebarang jaminan kepada pihak keluarga Kirsty yang bayi ini akan terus hidup seperti manusia normal.

Apa yang pasti, kebarangkalian untuk Kirsty terus hidup adalah sangat tipis kerana usianya yang terlalu muda. Atau, sekiranya dia mampu bertahan sekalipun, kanak-kanak ini berkemungkinan besar akan mengalami kecacatan kekal sepanjang hayat.

Berita tersebut sedikit sebanyak telah menggusarkan hati pihak keluarga bayi berkenaan. Kedua ibu bapanya, Becky dan Wayne tidak menaruh harapan yang tinggi, melainkan hanya mampu berdoa supaya cahaya mata mereka ini kembali pulih kepada keadaan yang normal.

Ternyata apa yang diharapkan oleh kedua-dua ibu bapa Kirsty telah menjadi kenyataan. Selepas beberapa hari menjalani operasi pembedahan yang berat, kanak-kanak ini kembali sedar daripada komanya. Bermula dari detik itu, tahap kesihatan Kirsty dilihat semakin baik dari hari ke hari. Ia diibaratkan seperti suatu magis apabila dia sudah mampu untuk menangis, makan dan memberi reaksi yang sama seperti bayi-bayi comel lain.

Bagaimanapun, doktor masih terus melakukan pemantauan terhadap tahap kesihatan Kirsty. Selama tiga minggu berada di hospital, Kirsty kemudiannya dibenarkan pulang kerana kondisi kesihatannya yang semakin stabil. Tetapi dia masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara bulanan di hospital berkenaan.

Selepas hampir setahun menjalani pemantauan berkala, Dr. Stephen Westaby yang merawat kanak-kanak ini mengesan sesuatu yang aneh telah berlaku. Jantung Kirsty yang sepatutnya berukuran lebih kecil didapati semakin membesar menyamai saiz ukuran jantung normal.

Melalui imbasan MRI, Dr. Stephen mengesahkan organ pengepam darah itu telah tumbuh semula menggantikan satu pertiga bahagian yang telah dibuang, tanpa melalui proses pemindahan jantung. Perkara ini benar-benar telah mengejutkan dunia perubatan, terutamanya pakar-pakar jantung yang mengikuti perkembangan kes Kirsty ketika itu.

Dalam kenyataannya, Dr. Stephen menjelaskan, situasi ini adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Malah, ketika melakukan operasi pembedahan itu dia langsung tidak menjangkakan Kirsty mampu untuk terus hidup, apatah lagi ia dilakukan ketika usia kanak-kanak ini masih sangat muda iaitu empat bulan.

Menurut Dr. Stephen lagi, jantung bukanlah seperti organ lain yang mempunyai sel untuk tumbuh semula. Namun, mungkin disebabkan pembedahan tersebut dilakukan ketika Kirsty masih bayi, justeru pertumbuhannya sedikit sebanyak membantu mengembalikan semula organ berkenaan kepada saiz normal. Tetapi apa yang pasti, jantung orang dewasa tidak mampu untuk melakukannya.

Setelah bertahun-tahun berlalu, Kirsty terus mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang seusia dengannya. Gaya hidup Kirsty langsung tidak menunjukkan yang dia mempunyai sebarang masalah kesihatan. Bahkan, dia juga berupaya melakukan apa sahaja aktiviti seperti manusia normal, termasuklah bermain ragbi untuk pasukan sekolahnya.

Kirsty (kiri) yang berusia 18 tahun hidup sihat. Bersama ibunya (tengah), dua beranak ini ditemukan semula dengan Dr. Stephen beberapa tahun lalu dalam satu wawancara.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This