FILEM No More Bets mencipta sejarah apabila menjadi filem berbahasa Cina pertama yang mendapat kutipan RM10 juta hanya dalam tempoh empat hari sejak ditayangkan 7 September lalu.
Menampilkan pelakon handalan seperti Lay Zhang, Gina Jin, Yong Mei dan Eric Wang, film arahan Ao Shen ini juga menjadi filem berbahasa Cina yang paling banyak ditonton serta pantas mencecah kutipan tertinggi.
No More Bets mengisahkan dua individu yang terperangkap dalam skim penipuan dalam talian era digital sehingga mereka dipergunakan dan dipaksa untuk menjalankan aktiviti jenayah siber yang berleluasa.
Malah, hasil penipuan tersebut, seorang mangsa hampir membunuh diri dan menyebabkan polis mula menyiasat dalang di sebalik jenayah siber yang menyebabkan ramai individu kerugian jutaan ringgit.
Diterbitkan oleh Dirty Monkeys, No More Bets diharap mampu memberi iktibar dan manfaat terutama kepada mereka yang terdedah serta mudah ditipu oleh skim jenayah siber.
Malah No More Bets bukan sekadar sebuah filem tetapi satu manifestasi tanggungjawab sosial, mengingatkan penonton untuk terus berwaspada dan menjauhi bahaya penipuan dalam talian.
“Kejayaan filem ini telah mengatasi kutipan pecah panggung sebelum ini dan satu medium sosial yang positif, menggalakkan penonton untuk berani menghadapi cabaran keselamatan siber,” katanya dalam satu kenyataan.
Filem No More Bets diedarkan oleh Megafilms Distribution dan kini berada di pawagam seluruh negara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

