KERAJAAN yakin tidak akan berdepan masalah dalam pembentangan usul pelantikan secara pentadbiran wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul itu akan dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDNM (Pindaan) 2023) yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Ke-15 yang akan bersidang bermula Isnin ini.
Beliau berkata, pembentangan itu sejajar dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas sebagai menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak atas semangat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).
“Saya rasa tidak ada masalah, sebelum ini Menteri Kewangan diberi kuasa penuh untuk melantik siapa yang difikirkan sesuai tetapi sekarang ini kuasa Menteri Kewangan dihadkan dengan rujukan kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam pelantikan dua Ahli Lembaga LHDN.
“Dalam perkataan lain apabila kita menurunkan sedikit kuasa itu, bererti kita menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak atas semangat (MTP-MA63),” katanya.
Baca juga: Thailand ranap misi Malaysia pertahan emas takraw antara regu
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita sama ada terdapat masalah dalam membentangkan usul itu, selepas Program Kita MADANI Negeri Johor 2023 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pelantikan dua ahli lembaga itu penting dan wajar supaya mereka dapat mengetahui dengan lebih terperinci mengenai jumlah hasil kutipan yang diperoleh di Sabah dan Sarawak.
“Selalunya Sabah dan Sarawak ingin mengetahui berapa banyak pendapatan daripada rakyat dan syarikat di kedua negeri itu, mereka ingin supaya hasil itu diberikan kembali Sabah dan Sarawak dengan adil.
“Kalau ada wakil daripada mereka, maka mereka dapat mengetahuinya dengan lebih terperinci jumlah kutipan hasil itu dan kemudian boleh kita merancang supaya hasil itu kita kembalikan dengan adil kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan negeri berkenaan,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

