PELAKON Mawar Rashid mendedahkan keputusannya yang tidak lagi bertudung itu bukanlah satu tindakan yang baik dan tidak sewajarnya dijadikan ikutan.
Bagaimanapun, Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid,28, berkata, dia sedaya upaya berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah.
“Minta maaf saya tak angkat dan tak menjawab semua yang bertanya mengenai keadaan saya. Saya baru aktifkan semula telefon bimbit.
“Saya akan bagi kenyataan di sini saja ya. Saya tak nak cakap banyak mengenai isu ini sebab tindakan saya ni bukanlah tindakan yang baik dan tidak patut dicontohi.
“Sungguh pun semua ini dah berlaku, saya masih berusaha untuk memperbaiki hubungan saya dengan Allah. Biarlah usaha saya ini antara saya dan Allah saja,” tulis Mawar menerusi hantaran di Instagram Story.

Tambah Mawar, dia turut memohon maaf kepada semua pihak yang kecewa dengan keputusannya yang tidak lagi menutup aurat.
“Saya juga nak minta maaf kepada semua orang yang saya dah kecewakan. Saya buat dan cuba sedaya upaya untuk istiqamah selama ini tapi saya gagal kali ini.
“Terima kasih kepada yang masih sokong saya, bagi kata-kata positif dan doakan yang baik-baik untuk saya. Terima kasih,” ujarnya.
Semalam (Selasa), Mawar mwngejutkan warganet apabila memuat naik gambar dirinya yang tidak lagi bertudung.

