LAMA menyepikan diri dalam industri seni, pelakon Bkay Nair memaklumkan dirinya tidak pernah meletakkan titik penamat untuk terus aktif dalam bidang lakonan khususnya.
Menurut Bkay atau Tyrambikay Vengades,41, ramai yang menganggap dia sudah berhenti berlakon disebabkan wajahnya sudah jarang kelihatan dalam televisyen atau di layar lebar.
“Memang ada yang tanya sama ada saya sudah berhenti berlakon ke? Tapi saya cakaplah yang saya masih aktif lagi dalam dunia seni.
“Tapi saya rasa dengan peningkatan usia ini macam dah tua serta kurang sesuai pula nak aktif berlakon seperti dulu,” katanya kepada URTV.
Bagaimanapun, Bkay bersedia untuk menerima sebarang tawaran sekiranya diberikan watak yang sesuai dengan dirinya.
Katanya, dia hanya meletakkan bidang seni sekadar tempat untuk melepaskan kerinduan sekiranya ingin beraksi di hadapan kamera.
Semuanya disebabkan dia kini sibuk menguruskan perniagaan, Bkay Nair Resources (BNR) yang merupakan sebuah syarikat perunding imej.
“Kalau ada yang nak bagi peluang berlakon, saya bersedia saja untuk terima. Tapi watak tersebut kena bersesuaian lah.
“Seperti semua sedia maklum, lakonan perlu memperuntukkan masa yang sangat panjang. Saya sibuk dengan perniagaan sendiri dan menghadiri pelbagai acara jadi agak mustahil untuk saya membahagikan masa dengan berlakon…lakonan agak memenatkan.
“Tapi, kalau setakat pelakon tambahan atau cameo, saya okay saja tak ada masalah. Sejujurnya saya baharu saja selesai penggambaran drama atas talian.
“Penggambaran tersebut tak ambil masa yang lama…cuma dua hari saja. Kalau macam tu, saya okay saja,” jelasnya yang pernah membintangi filem Ratu The Movie.
Bkay ditemui pada Pertunjukan Fesyen Warisan Navara anjuran syarikatnya sendiri di Pusat Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mahu angkat fesyen berasaskan Saree ke peringkat global
Menerusi Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa anjuran BNR yang kemuncaknya menampilkan fesyen memukau menggabungkan tekstil tradisional Malaysia dengan rekaan fesyen kotemporari yang diinspirasi oleh Saree.
Seramai 44 model mempersembahkan sejumlah 77 penampilan yang menakjubkan hasil rekaan daripada 11 pereka tempatan.
Pereka fesyen ini terdiri daripada Norina Abdul, Munir Yahya, Linda Isa, Kesheen Ragunathan, Yani Baktiar, Zandra dan Kalai.
Empat lagi adalah daripada pelajar International Academy of Fashion and Design (IFTC) iaitu Tan Ruo Qian, Priyashalini Eswaran, Naresh Yempati dan Lia Mysara.

“Pertunjukan fesyen ini bukan hanya tentang fesyen tetapi ia adalah satu refleksi mendalam identiti budaya kami, sebuah gerakan budaya, satu bukti semangat kekreatifan yang berterusan dan demi memeberi penghargaan kepada artis yang menenun kepelbagaian warisan kami.
“Melalui acara ini, kami berharap membawa keunikan warisan kami kepada UNESCO. Pengiktirafan yang diberikan oleh UNESCO berpotensi untuk menerangi harta seni dan budaya negara kita di peringkat global, dan juga mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah.
“Kami bertujuan untuk memulakan perbincangan antarabangsa yang menonjolkan keunikan tekstil Malaysia, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan kami yang kaya di peringkat global,” kongsi Bkay.

Saree Malaysia, yang dihasilkan dengan teliti daripada Batik, Songket, dan Sutera Malaysia, menjadi lambang yang mendalam terhadap warisan budaya Malaysia. Ciptaan ini tidak hanya mencerminkan sejarah dan tradisi yang kaya negara ini, tetapi juga berperanan sebagai medium ekspresi seni.
Selain itu, Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa bukan sahaja untuk mempromosikan kelestarian budaya tetapi juga mempekasakan artis tempatan, pereka, dan penenun.
Melalui acara Anugerah Pengiktirafan Pereka yang berlangsung pada hari kemuncak acara untuk mengangkat individu berbakat ini dan menyokong kelestarian kraftangan tradisional.
Tiga pereka fesyen yang menerima anugerah itu ialah Pereka Terbaik (kategori pelajar), Naresh Yempati, Anugerah Pereka Kreatif (Kesheen Ragunathan) dan Anugerah Malaysian Heritage Excellence yang dimenangi oleh Munir Yahya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

