*MUKTAMAR TAHUNAN PAS KALI KE-69
MANA-mana parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan meletakkan calon dalam pilihan raya tidak seharusnya hanya melihat kepada kekuatan calon semata-mata tetapi juga dari segi persedian dan kekuatan jentera sesuatu parti.
Ketika menegaskan perkara itu, Perwakilan Pas Selangor, Sallehen Mukhyi (gambar) berkata, ia bertujuan bagi memastikan kerusi berpotensi (untuk menang) tidak terlepas kepada parti lawan akibat kelemahan jentera.
Sehubungan itu kata beliau, kepemimpinan PN harus melakukan perbincangan teliti bagi membolehkan persediaan lebih awal dilakukan sebelum sesuatu pilihan raya berlangsung.

“Bila kita menyebut soal muhasabah pilihan raya untuk kita bukan sahaja bercakap dalam soal keputusan yang kita capai, tetapi mesti melihat daripada seluruh persediaan. Persediaan calon; persediaan jentera; hubungan baik kita dalam ‘coalition’ kita; dalam Perikatan Nasional, semua ini mesti diambil kira,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Ke-69 parti itu di Shah Alam hari ini.
Sallehen berkata, perbincangan lebih awal itu perlu dilakukan betul-betul bagi menilai kemampuan seseorang calon itu dengan meletakkan keupayaan untuk menang sebagai peratusan paling tinggi dalam penilaian yang dibuat.
‘’Tetapi saya harap perbincangan ini janganlah dilakukan bila dah dekat pilihan raya. Sekarang sudah perlu ditubuhkan pasukan. Bukan sekadar bincang soal siapa nak bertanding di kerusi ini, siapa nak bertanding di kerusi itu.
“Sebaliknya bincang sekarang untuk menentukan, menilai tentang kekuatan, tentang bantuan kekuatan yang mesti diberikan kepada satu-satu DUN,” tegasnya.
Beliau berkata, amat perlu diwujudkan satu panduan, banchmark atau piawaian sehingga melayakkan satu-satu parti bertanding di sesuatu kerusi itu.
“Kita tak nak hanya meletakkan calon sedangkan jentera mereka tidak ada. Sebab soal calon ni bukan soal main-main,” katanya.
*Kemenangan di PRU-15 buktikan PN sedia ambil alih tampuk kerajaan
SEMENTARA itu, Perwakilan Pas Pahang, Mujibur Rahman Ishak berkata, kemenangan PN di empat negeri, termasuk menjadi suara yang kuat dan digeruni serta menjadi pembangkang konstruktif di Parlimen menunjukkan kesediaan mengambil alih tampuk Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu, kata beliau , Pas, Bersatu dan Gerakan perlu bergerak seiring bagaikan isi dengan kuku dan dakwat dengan kertas, serta bagai aur dengan tebing.
“Jangan ada dendam dan benci, duduk di meja bulat dan bincanglah dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata, seperti mana Pas bertunjangkan tarbiyah, rakan-rakan dalam PN juga perlu diperkenalkan dengan hala tuju perjuangan ini antaranya tidak memisahkan mereka dengan elemen usrah dan kuliah.
Katanya, dalam perjuangan tidak hanya memerlukan jasad, tetapi juga sifat antaranya sabar yakni kemampuan untuk berhadapan segala ujian bagi berada di medan dengan cita-cita yang tinggi.

