UNIFI TV telah melancarkan Unifi TV Originals, produksi aslinya sendiri untuk memberikan kepelbagaian dan lebih banyak kandungan bernilai untuk para penontonnya.
Barisan siri dan filem ini disesuaikan dengan citarasa tempatan untuk memuaskan hati penonton di Malaysia yang merangkumi kisah legenda, cerita rakyat dan isu sosial yang biasa didengar oleh rakyat Malaysia.
Pelanggan akan dapat menikmati siri dan filem Unifi TV Original bermula dengan siri pertama “Nak Dengar Cerita Hantu?” arahan Sabri Yunus dan ditulis oleh Sophillea. Ini merupakan siri lapan episod legenda dan cerita rakyat Malaysia yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Barisan pelakon yang menampilkan bakat tempatan tersohor seperti Namron, Beto Kusyairi, Nora Danish, Uqasha Senrose, Elizabeth Tan, Sean Lee, Thanuja dan ramai lagi akan memastikan siri ini memenuhi citarsa rakyat tempatan. Saksikan tayangan perdana pada 27 Oktober dengan episod baharu setiap Jumaat, jam 9.00 malam, secara eksklusif di DEGUP (saluran Unifi TV 120).
Penonton yang terlepas slot siaran jam 9.00 malam, masih berpeluang menonton episod tersebut melalui ciri Catch Up Unifi TV. Siri ini juga boleh distrim melalui aplikasi Unifi TV.
Ketua Pegawai Komersial TM dan Naib Presiden Eksekutif Unifi, Anand Vijayan, berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan Unifi TV Originals di saluran DEGUP.
“Produksi asli ini membolehkan kami bersaing dengan platform dan penyedia kandungan lain, menawarkan kandungan yang lebih pelbagai kepada penonton kami.
“Ini juga akan mewujudkan peluang kepada industri hiburan tempatan untuk mempamerkan karya mereka,” katanya.
Bekerjasama dengan syarikat-syarikat produksi tempatan; Golden Adventure Creative (Nak Dengar Cerita Hantu?), NS Star Sdn. Bhd. (siri Gemersik Berbisik) dan Nuansa Sdn. Bhd. (siri Bara Jiwa) dengan pengarah dan pelakon terkenal seperti Sabri Yunus, Osman Ali, Amorizan, Elisya Sandha, Ezzrin Loy, Yasmin Hani dan ramai lagi, Unifi TV berhasrat menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi dan menarik, untuk penontonnya melalui Unifi TV Originals.
“Siri-siri asal yang selebihnya merangkumi genre aksi, seram dan thriller akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan akan datang. Bekerjasama dengan bakat berpengalaman dalam industri akan memastikan penyampaian drama bersiri dan filem berkualiti tinggi.
“Kami berharap ini akan menghasilkan kandungan terbaik untuk pelanggan Unifi TV, sambil menyokong industri hiburan tempatan,” akhiri Anand.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

