Tulisan : Imam Muda Ashraf
Ada satu golongan lagi hampir sama dengan golongan ketiga tetapi dialah golongan terbaik yang perlu diramaikan. Mereka percaya dengan kata-kata “bersedekahlah dengan apa yang ada dalam poket dan yakinlah dengan rezeki di alam ghaib.” Mereka adalah pemilik jiwa yang suka berkorban dan mereka ini kaya dengan jasa dan saham akhirat.
Kehidupan mereka bukan untuk diri mereka di dunia tetapi untuk akhirat. Mereka menyimpan duit untuk pergi melancong atau menikmati kemewahan. Tetapi mereka tidak lokek menghulurkan kepada siapa sahaja yang memerlukan.
Suatu masa dahulu rakyat Malaysia menabung untuk pergi berjalan-jalan di Mesir dan Syria. Kini kedua-dua negara itu sedang dalam kesusahan. Bolehkah kita menunaikan tabungan kita untuk mereka guna bagi menelusuri hari-hari kesusahan mereka?
Syria kini sangat daif dan naïf, mereka telah difatwakan halal memakan kucing, anjing dan keldai kerana kebuluran telah meragut banyak nyawa dan ramai mangsa dari kanak-kanak dan orang tua terkorban. Mereka ini boleh diselamatkan dengan RM30 atau RM50 yang kita simpan untuk pergi bercuti kali ke-6 tahun ini. Tidakkah menyelamatkan nyawa itu lebih utama?
Kita selalu menimbang untuk membantu setelah seseorang ditimpa bencana contohnya, seorang yang mati akan menyebabkan pengunjung jenazahnya menghulurkan beberapa keping RM untuk menutupi kesedihan keluarganya. Mungkin jika kita keluarkan awal RM kita itu si mati dapat kita selamatkan. Maka kita telah gagal menyelamatkan nyawa hanya kerana kita tersilap nilai kedudukan sebenar sebuah sedekah yang lebih baik.
Saya menyeru kepada para pembaca WANITA agar menabunglah untuk diri kita di dunia dan akhirat. Tabunglah untuk kebahagiaan kita. Bahagikan tabungan kita untuk diri sendiri dan fakir miskin. Biarlah dunia merasai kemanisan yang kita rasakan.
Jika kita ingin berpakaian pilihlah yang kita rasa boleh untuk kita hadiahkan. Saya teringat petikan buku Pak Hamka, Tuan Direktor; Pak Yasin telah menasihati anak buahnya agar menjual bajunya yang mahal dan beli beberapa helai baju dengan harga yang sama dan hadiahkan pada jiran tetangga.
Maka itulah perinsip ekonomi yang memiliki tabungan terbesar. Kita menabung dalam jasa-jasa kita bukan dalam tanah liat yang telah dibakar cantik. Kita menabung dalam system kemanusiaan bukan dalam benda beku.
Saya teringat juga kuiz Rasulullah pada Aisyah r.a ketika salah satu hari Qurban yang berkata “Apakah yang tinggal pada kita dari haiwan Qurban?” Aisyah mengangkat sebelah peha kambing dan berkata “hanya ini ya Rasulullah!”
Rasulullah berkata “bahkan itulah yang akan habis kita makan dan yang telah kita sedekahkan itu semuanya akan kekal di sisi Allah.”
Menabung Dari Jiwa
Konsep menabung itu datang dari jiwa. Jika jiwa itu bersih maka Tabungan itu akan merebak keseluruhan alam walaupun sekecil zahir. Tetapi jika jiwa itu kotor tabungan itu akan membeku dan tidak mustahil kita juga tidak dapat menikmatinya.
Jika ingin kita lakukan sesuatu berdoalah kepada Allah dan menabunglah dalam amal soleh dan tabungan usaha. Jika kita ikhlas dan beriman dengan kekayaan Allah pasti dunia akan mengejar kita dan akhirat kita akan sejahtera dengan bon-bon saham amal soleh yang kita labur di dunia ini.
Saya teringat kisah seorang wanita tua yang miskin di Yaman. Kisah ini berlaku semasa Gaza dikepung hebat. Wanita tua ini hanya memiliki seekor lembu tua yang kurus. Oleh kerana simpatinya pada rakyat Gaza terlalu tinggi dia pun membawa lembunya ini disedekahkan ke masjid tempat orang mengumpul sumbangan untuk rakyat Palestin.
Memandangkan lembu yang sangat kurus itu takkan sempat sampai ke Gaza dan akan mati, maka imam menawarkan lembu itu untuk dibida lalu seorang hartawan telah membeli lembu itu dengan harga yang sangat mahal. Tetapi lembu itu dipulangkan kepada tuannya. Itulah erti sebuah keikhlasan. Allah tidak mahu harta kita tetapi Allah hanya mahukan Iman kita.

