PELAKON Yusuf Bahrin meletakkan syarat untuk berlakon babak tidak berbaju dengan memperlihatkan anggota badan yang bukan aurat sahaja.
Menurut Yusuf, dia mengambil langkah berani untuk berlakon babak tidak berbaju dalam filem The Lord Musang King namun membuat permintaan kepada pengarah dan penerbit untuk menjaga batas auratnya.
“Saya ada buat permintaan kat Eddie (Penerbit) untuk bagi tahu pengarah saya tak nak nampak antara pusat dengan lutut.
“Sebab gila tu kalau keluar mampus saya nak kena jawab dengan bini saya. Tak cakap pasal kita dengan agama takut dia tak faham, jadi saya cakap isteri saya tak boleh tengok ‘scene-scene’ macam itu.
“Alhamdulillah pengarah dan penerbit kata okey dan dia hormati permintaan dan pendirian saya.
“Tapi saya tak cakap saya buat (babak) itu benda betul atau salah tapi saya ambil langkah berani dan tanggungjawab atas diri saya sendiri, kalau salah betulkan saya,” katanya kepada URTV.
Yusuf berkata demikian ketika ditemui di Majlis Malam Gala The Lord Musang King di GSC, Lalaport, Bukit Bintang City Centre, semalam.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Zizi Kirana itu memberitahu dia sudah berbincang dengan isterinya terlebih dahulu sebelum melakonkan babak berkenaan.
“Saya ada tanya pendapat dia (Zizi) sebab dalam skrip itu ada… jadi benda itu kena bagi tahu nanti keluar tiba-tiba terkejut pula.
“Macam sebelum ini, kalau ada babak pegang tangan ke…kalau saya lupa nak bagi tahu dan Zizi ternampak dia akan tegur saya.
“Kalau boleh jangan dia kata, itu pun kalau babak yang marah terentap tangan la sebab adegan-adegan belai saya tak ada,” katanya.
Aktor berusi 31 tahun itu juga mendedahkan akan menolak tawaran yang mempunyai adegan ghairah kerana khuatir dikecam.
“Bila dapat saya dapat satu naskah yang ada aksi ghairah dan menghairahkan macam atas katil, saya tak ambil la sebab saya tak tahu macam mana nak olah babak itu.
“Saya tak sedia untuk kena dikecam.Saya pun tahu benda itu memang tak bagus pun,” katanya.
Yusuf juga percaya perkara ini tidak akan menjejaskan kerjaya malah ramai penerbit dan pengarah yang sedia berkrompomi dengan syarat yang diletakkan seseorang pelakon.
“Alhamdulillah perkara ini tak menjejaskan karier saya, sebab banyak saja pengarah dan penerbit yang sedia comprise dengan terms and conditions kita.
“Saya tak memilih, cuma kalau pengarah atau penerbit tak dapat terima syarat diletakkan nanti saya takut susahkan dia pula di set.
“Saya percaya pada rezeki, kita semua kena percaya” jelasnya.
Filem The Lord Musang King adalah kolobrasi pertama Malaysia bersama Korea Selatan dibawah arahan pengarah Lee Moon Ho ini mengangkat tema aksi dan jenayah.

Selain Yusuf, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Fimie Don, Harissa Adlynn, Jay Iswazir, Azri Sabri, Eddie Chow dan dua pelakon dari Korea Selatan iaitu Kwak Donghyuk dan Kim Boyeon.
Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysa pada 21 Disember ini.

