WARTAWAN hiburan, Fiza Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, jam 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia), hari ini.
Adiknya Siti Nor Hazlinda, 39, berkata, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli dalam proses perbincangan dengan pihak kedutaan Malaysia di negara berkenaan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,” katanya.
Menurutnya, pendarahan otak itu disebabkan oleh sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.
Jelasnya lagi, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakaknya bersama suami dan dua anak mereka mahu berlepas pulang ke tanah air.
Kata Siti Nor Hazlinda, percutian ke London adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti.
“Arwah memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

