PENYANYI dangdut Indonesia, Saipul Jamil menjelaskan tindakan dia berteriak dan menjerit ketika ditahan polis pada Jumaat lalu kerana berfikiran akan dirompak dan dibunuh.
Memetik laporan Detik News, penyanyi itu pada awalnya tidak menyangka individu yang mengejar dan menghentikan keretanya ialah anggota polis malah difahamakan Saipul turut bertindak memandu kereta laju dengan alasan mahu ke balai polis.
“Saya takut, justeru saya mahu cari perlindungan di balai polis, kerana individu yang mengejar saya itu mengaku mereka daripada anggota polis.
“Saya sempat berfikiran negatif yang mungkin saya akan dibunuh sebab polis itu tidak pakai pakaian beruniform hanya baju biasa.
“Jadi saya bimbang dan keliru kalau mereka bukan polis. Sebab itu saya menjerit seperti orang histeria supaya masyarakat disitu tahu siapa saya,” ujarnya.
Sementara itu, bekas suami Dewi Persik itu juga memberitahu terkejut apabila pembantu peribadinya terlibat dengan dadah dan akan lebih berhati-hati dalam memilih rakan selepas ini.
“Dia seorang yang baik, saya tak sangka dia terlibat dengan dadah sebab kami telah berkerjasama sejak setahun yang lalu.
“Makanya, saya harus berhati-hati sekarang memilih teman, memilih calon pekerja harus benar-benar selektif kerana yang saya fikir baik belum ternyata baik, ini mungkin menjadi pelajaran buat saya,” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi berusia 43 tahun itu ditahan pihak polis di Jakarta, selepas menaiki kereta bersama seorang individu merangkap pembantunya yang didakwa terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Namun, hasil ujian air kencing Saipul didapati negatif sementara rakannya dilaporkan positif dadah.

