Tinggalkan nota untuk pergi bersama makhluk asing, kehilangan misteri lelaki ini terus jadi tanda tanya

Dari Penulis

PETANG bertarikh 29 November 1980, Granger Taylor keluar dari rumahnya di Duncan, Kanada. Sebelum keluar, Granger yang berusia 32 tahun meninggalkan sekeping nota untuk kedua orang tuanya yang berbunyi…

Ibu dan ayah yang dikasihi, saya harus pergi menaiki kapal angkasa makhluk asing demi memenuhi impian saya menjelajah angkasa lepas selama 42 bulan, kemudian saya akan pulang semula. Saya tinggalkan semua harta benda saya kerana tidak memerlukannya lagi.”

Selepas keluar dari rumahnya, Granger pergi ke sebuah restoran di pekan Duncan untuk menikmati makan malam lebih kurang pukul 6.00 petang. Dan itu adalah kelibat terakhir lelaki itu dilihat. Sejak itu, kehilangan Granger teru menjadi misteri.

Benarkah Granger telah menaiki piring terbang dan dibawa makhluk asing menjelajah angkasa lepas? Secara logiknya, dakwaan lelaki ini memang tidak masuk akal.

Granger Taylor hilang selepas meninggalkan nota kepada orang tuanya.

Granger lahir pada 7 Oktober 1948. Walaupun fizikalnya gempal, Granger seorang yang pendiam dan pemalu. Tak kurang juga yang menggelarnya lelaki aneh. Granger hanya bersekolah sehingga gred lapan kerana tidak berminat dalam bidang akademik.

Selepas berhenti sekolah, Granger bekerja sebagai mekanik di kedai-kedai sekitar bandar tidak jauh dari rumahnya. Dia menunjukkan minat yang tinggi berkaitan kemahiran yang ada kaitan dengan mesin sehingga mampu membaiki pelbagai jentera dan kenderaan.

Boleh dikatakan Granger seorang budak genius. Di usia 14 tahun, dia membina sebuah kereta satu silinder. Dia menemui sebuah lokomotif lama yang menggunakan sistem wap yang sudah tersadai puluhan tahun di hutan belukar. Dia menariknya keluar dan berjaya membaiki semula lokomotif yang dibina pada tahun 1930-an itu. Kereta satu silinder dan lokomotif hasil kerja tangannya itu dipamerkan di Muzium Hutan Duncan.

Lokomotif yang dibaiki Granger dipamerkan di muzium.
Walaupun tidak berpendidikan tinggi, Grange mempunyai kemahiran tinggi membaiki jentera berat.

Di usia 17 tahun, Grange berjaya membaiki sebuah jentolak lama ketika tiada siapa yang berjaya membetulkannya. Malah, dia turut membina sebuah replika jet pejuang zaman Perang Dunia Kedua yang akhirnya dibeli oleh seorang pengumpul dengan harga 20 ribu dolar.

UFO & Makhluk Asing

SEKITAR tahun 1940 dan 1950-an, kisah tentang makhluk asing, UFO dan piring terbang mula rancak diperkatakan. Semasa Perang Dunia Kedua, beberapa juruterbang menceritakan melihat bebola cahaya yang luar biasa di dada langit. Sejak itu, pelbagai kejadian saksi yang mendakwa ternampak UFO dan alien mula direkodkan. Ini termasuk kisah orang-orang yang mendakwa mereka pernah diculik oleh makhluk asing.

Kisah itu terus hangat diperdebatkan sehingga penghujung tahun 1970-an. Ketika itu, penggiat filem Barat turut menghasilkan beberapa filem dan siri TV berkaitan makhluk asing dan angkasa lepas seperti Star Wars dan Star Trek.

Sewaktu ia rancak diperkatakan, Granger turut menunjukkan minat yang ekstrem terhadap makhluk asing. Kecenderungannya itu mendorong Granger untuk membina sebuah replika kapal angkasa lepas di dalam kebun milik keluarganya menggunakan barangan terbuang yang di kumpulnya sendiri.

Replika itu mempunyai dua satelit yang fungsinya seakan-akan menerima dan menghantar maklumat. Di bahagian dalamnya dilengkapi dengan televisyen, sofa dan alat pendiang.

Replika kapal angkasa yang dibina Granger. Di sini lah Granger mendakwa telah berhubung dengan ‘seseorang’ dari galaksi lain di angkasa lepas.

Granger sering tinggal dan tidur di dalam replika piring terbang ciptaannya dan menjadi begitu obses untuk mengetahui bagaimana caranya untuk menerbangkan kapalnya itu.

Lebih kurang sebulan sebelum kehilangannya, Granger ada bercerita pada teman rapatnya bahawa dia telah berjaya berhubung dengan makhluk asing.

“Sewaktu berbaring di dalam kapalnya, dia mengakui berlaku komunikasi secara minda antaranya dengan seseorang dari angkasa lepas. Dia tidak dapat melihat wajah mereka, cuma makhluk itu berbicara dengannya melalui mindanya,” cerita Bob Nielson, teman rapat Granger.

Seorang lagi teman iaitu Robert Keller menceritakan, Granger pernah memberitahu dia selalu bermimpi berjumpa makhluk asing yang berjanji akan datang mengambilnya. Katanya, dia telah dijemput oleh ‘mereka’ untuk sama-sama ‘mengembara’ ke angkasa lepas.

Kebetulan pada malam kehilangan Granger, berlaku ribut taufan sehingga memutuskan bekalan elektrik. Sejak itu juga, kelibat Granger yang memandu trak birunya tidak lagi kelihatan. Ada yang mengatakan cuaca buruk malam itu mungkin ada kaitan untuk menyembunyikan kedatangan UFO ke situ untuk membawa Granger pergi.

Pencarian pihak berkuasa tidak menemui sebarang petunjuk. Bukan hanya Granger, bahkan kenderaannya juga tidak ditemui. Selama empat tahun, pemeriksaan rekod untuk mengesan kewujudan Granger dijalankan sama ada berkaitan rekod hospital, pasport, majikan dan kenderaan. Namun tiada klu yang ditemui.

Selama 42 bulan juga, ibu bapa Granger sengaja membiarkan pintu belakang rumah mereka tidak berkunci sepanjang masa, dengan harapan anak mereka akan kembali semula ke rumah, seperti kata-kata yang ditinggalkan Grange dalam notanya yang hanya pergi mengembara ke angkasa selama 42 bulan. Tetapi, mereka pasrah apabila Granger tidak pernah lagi muncul. 

Ibu bapa Granger membiarkan pintu belakang rumah tidak berkunci selama 42 bulan dengan harapan anak mereka akan pulang semula ke rumah.

Bulan Mac 1986, enam tahun selepas kehilangan Granger, ada orang menemui sebuah kawasan bekas terbakar berdekatan gunung, lebih kurang lapan kilometer dari rumah keluarga Granger.

Terdapat serpihan logam yang dipercayai adalah kenderaan dan serpihan tulang ditemui yang dipercayai telah berkecai akibat berlaku letupan. Siasatan pihak berkuasa sebulat suara mengesahkan itu adalah mayat Granger. Kes ditutup kecuali jika ada penemuan baru.

Kes kehilangan Granger ditutup pihak berkuasa selepas penemuan serpihan kenderaan dan tulang yang dikatakan miliknya.

Anehnya, jika benar sekalipun, apakah motif lelaki itu meletupkan diri bersama truk nya di perdu pohon berdekatan gunung tersebut?

Tidak ramai yang mahu mempercayai rumusan pihak berkuasa. Lebih ramai yang percaya Granger memang benar-benar telah terbang ke galaksi lain. Tak kurang juga yang mendakwa ia adalah helah Granger untuk berpindah ke tempat lain dan hidup menggunakan identiti lain.

Dari sudut teori pengkaji makhluk asing pula, berkemungkinan Granger sengaja membuat letupan itu untuk melihatkan dia membunuh diri, sedangkan hakikatnya mungkin dia telah dibawa oleh makhluk asing di mana ia adalah perjalanan sehala, tanpa pulang semula ke bumi.

Terlalu banyak andaian dan teori mengaitkan kehilangan lelaki ini. Apakah benar serpihan tulang itu adalah Granger, atau mungkin ketika ini dia sedang asyik menjelajah angkasa lepas dan tidak mahu lagi pulang ke bumi? Tiada siapa tahu kebenarannya.  

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Granger, ia masih menjadi misteri sehingga kini.
Mungkinkah Granger sudah berada di luar angkasa, menjelajah seperti yang ditulis dalam nota terakhirnya?

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This