Pulau Begansar hanyalah pulau kecil yang dikelilingi tasik. Jika dilihat, tiada apa yang menarik di pulau yang ditumbuhi rumput dan pokok liar itu yang hanya boleh memuatkan tidak sampai 50 orang dalam satu-satu masa.
Tetapi, pulau ini mendapat perhatian dan ramai pengunjung datang ke sini semata-mata mahu melihat pulau ini. Mengapa? Kerana keanehannya yang dikatakan boleh bergerak.
Pulau Begansar terletak di dalam tasik Bagut di Dusun Kuala Buin, Kapuas Hulu di Kalimantan Barat, Indonesia. Pulau ini pernah viral tidak lama dahulu kerana keunikannya yang akan mula bergerak sekitar pukul 8.00 pagi sebelum kembali ke posisi asalnya pada pukul 3.00 petang.
Nama pulau itu ‘Begansar’ juga bermaksud bergerak dalam bahasa Kapuas Hulu. Pulau ini sudah bergerak sejak dahulu lagi. Dikatakan sebelumnya ada 7 buah pulau kecil yang boleh bergerak di dalam kawasan tasik tersebut. Namun, kini hanya 2 sahaja yang masih boleh bergerak. Yang lain sudah ‘mati’ atau terletak tetap pada posisinya.

Ada banyak kisah-kisah rakyat berkaitan pulau ini. Antaranya, dikatakan Pulau Begansar terdiri daripada 7 bersaudara dan tiap pulau itu memiliki kepala dan ekornya.
Ada juga kisah yang menceritakan Pulau Begansar ini asalnya ditemui seorang nelayan bernama Bagut. Kerana pulau ini sering bergerak, Bagut pernah cuba mengikat pulau ini dengan rotan sebanyak 99 kali. Namun, kesemua usahanya itu gagal kerana ikatan tersebut pasti akan putus kerana tidak kuat untuk melawan pergerakan pulau tersebut.
Sesetengah masyarakat tempatan di sini percaya pulau ini dihuni roh. Ada juga yang mengatakan terdapat ikan gergasi di bawah pulau itu yang menggerakkannya.
Mitos lain pula menceritakan, kadangkala kedengaran bunyi orang berjalan di pulau itu tetapi tidak kelihatan sesiapa. Jika terdengar bunyi begitu tetapi tidak nampak sesiapa, itu petanda pulau tersebut akan mula bergerak.
Pengunjung yang datang ke sini selalunya dinasihatkan agar tidak angkuh atau mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.
Bagaimana pulau ini boleh bergerak?
Kenapa pulau kecil ini bergerak dan kemudian kembali kepada posisi asalnya telah mendatangkan tanda tanya sejak dahulu lagi. Penduduk setempat juga pernah menyelam ke bawah pulau itu untuk melihat apakah ada sesuatu yang bersambung yang menggerakkan pulau tersebut. Tetapi tiada apa-apa di bawah pulau kecil ini.

Pakar geologi di Universiti Padjadjaran, Dicky Muslim memberitahu, pulau yang bergerak bukanlah benda aneh malah ia adalah fenomena alam yang biasa terjadi. Ia disebut sebagai ‘sandbar’. Konsepnya, bar yang terisi oleh pasir ketika kering dan kemudian ditumbuhi pokok-pokok, itulah yang membentuk pulau di tengah tasik atau sungai.
Menurut Dicky, Pulau Begansar boleh bergerak kerana terdapat akar tunjang yang tertanam di dasar sungai. Akar itu kuat mengikat material pasir yang membentuk pulau tersebut. Sebab itu ketika pulau itu dibebani berat apabila dipenuhi pengunjung, ia tidak terggelam.
Sebenarnya, pulau itu bukan bergerak sendiri tetapi bergerak mengikut arus air. Jika air surut, pulau itu akan tetap di posisi asalnya. Ketika air naik, akar pengikat di bawah endapannya turut naik ke permukaan yang membuatkan pulau ini akan bergerak.
Namun, Dicky menasihatkan pengunjung yang naik ke pulau itu agar berhati-hati kerana berisiko untuk terperosok ke bawah kerana sifat akar pada pulau tersebut.
Sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui tentang pulau ini. Pulau Begansar hanya mula dibuka sebagai lokasi pelancongan pada tahun 2016. Ini kerana pada tahun tersebut jalan darat menuju ke pulau ini baru dibuka.
Selain mampu bergerak sendiri, Pulau Begansar juga boleh digerakkkan dengan ditolak oleh tenaga manusia.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

