PELAKON Hong Kong, Aaron Kwok terpaksa membatalkan hasrat bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya iaitu Rob N Roll di Malaysia disebabkan mengalami masalah kesihatan.
Aaron dalam satu kenyataan berkata, dia kesal dengan perubahan jadual pada saat akhir disebabkan keadaan kesihatannyal yang tidak mengizinkan lantas tidak dapat hadir ke tayangan filem dan sidang media hari ini.
“Atas nasihat doktor, saya harus mengelak penerbangan jarak jauh ditambah lagi dengan jadual promosi yang padat.
“Maka, saya terpaksa melupakan hasrat mengubat kerinduan peminat Malaysia untuk bertemu dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Mega Films Distribution yang merupakan pengedar filem komedi itu berkata, walaupun pelakon utama, Aaron tidak dapat hadir tetapi dia tetap menyatakan sokongan dan berharap agar filem itu berjaya di Malaysia.
Lantas, rakannya yang juga pelakon bersama, Maggie Cheung sudi menggantikan dirinya dan terbang terus ke Malaysia bergandingan dengan pelakon hebat, Gordon Lam untuk mempromosikan filem lakonan mereka di negara ini.
Ini merupakan lawatan kedua Maggie ke Malaysia selepas tujuh tahun. Kali pertama dia ke Malaysia ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Eastern Wallstreet pada 2017.
Maggie berkata, dia sangat gembira dan teruja untuk mempromosikan filem terbaharunya itu.
Sebelum ini, Maggie pernah bekerjasama dengan Gordon Lam di TVB menerusi pelbagai naskhah klasik.
Sebagai rakan selebriti, Maggie turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan Aaron.
“Saya bimbang dan berharap agar Aaron dapat pulih dengan segera,” ujarnya yang memegang watak sebagai Ginger.
Menariknya, untuk filem ini, Maggie telah membeli insurans untuk setiap inci kulitnya demi membintangi filem aksi komedi tersebut.
Dia yang tidak pernah membawakan watak pegawai polis harus membuat keputusan tersebut kerana penggambaran babaknya melibatkan tembakan dan letupan sekali gus memberi impak emosi kepadanya.
Sementara itu, Gordon juga menzahirkan ucapan agar Aaron lekas sembuh dan dapat berehat.
Bercerita lanjut mengenai filem tersebut, Gordon yang membawakan watak pemandu teksi juga mempunyai kisah menarik untuk dikongsi.
Watak pemandu teksi di pertengah usia itu memerlukan dia untuk bermain dengan emosi kerana terpaksa berhadapan ‘pertarungan’ antaranya ibu dan isterinya yang sedang hamil.
“Saya mempunyai kerisauan untuk berkahwin kerana melakon watak yang dihimpit kemelut perbalahan antara ibu dan isteri.
“Walaupun pengarah menulis sebuah naskhah komedi, dia sebenarnya menulis tentang penderitaan ramai lelaki.
“Watak saya penuh dengan masalah keluarga. Anak perempuan mahu dia menjadi hero dan isteri saya mahu dia membuat lebih banyak wang untuk membeli rumah. Tapi dalam pada masa sama, saya tidak mencapai apa-apa standard yang ditetapkan.
“Sememangnya saya tidak berdaya dan lebih suka bekerja dalam kereta berbanding di rumah.” katanya.
Rob N Roll edaran Mega Film Distributions dengan kerjasama Elepfilm Entertainment, BT Media Space, Meta Live dan Aco Media.
Naskhah berkenaan diterbitkan oleh Er Dongsheng dan diarahkan oleh sutradara, Albert Mak.
Selain Kwok, Cheung dan Lam, filem berkenaan turut menampilkan Simon Yam dan David Chiang, selain penampilan istimewa oleh Lin Xue, Zeng Bitt, Wang Minde, Lu Haipeng dan Wu Dingxin.
Rob N Roll mengisahkan bekas ahli gusti, Mui Lam-tin (Kwok) yang bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan dengan memberanikan diri merentas lautan ke Hong Kong untuk melakukan rompakan besar-besaran.
Bersama rakan-rakannya, Robby (Lam) dan Mo-yung Fai (Richie Ren) yang pekerja sosial rumah jagaan, mereka secara tidak sengaja membentuk pasukan perompak untuk mendapatkan wang.
Rompakan membawa mereka ‘berkenalan’ dengan pegawai polis, Ginger (Cheung) yang nekad mahu menangkap mereka.
Filem ini bakal menjengah pawagam di seluruh negeri pada 10 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

