BYD Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan kenderaan sedan elektrik terbaharunya (EV), BYD Seal, yang ditawarkan pada harga RM179,800 bagi varian premium dan RM199,800 bagi varian prestasi.
BYD Seal, yang dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, merupakan model pertama yang dilengkapi dengan teknologi inovatif CTB (sel pada badan) yang menyepadukan bateri bilah ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan.
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya menggesa syarikat kenderaan elektrik multinasional yang mempunyai pelaburan di Malaysia untuk memanfaatkan tawaran dan insentif menarik yang ditawarkan kerajaan bagi mengembangkan pelaburan mereka ke negara ini.
Beliau berkata pengeluar kereta EV global dialu-alukan untuk menimbang menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka bagi mendapatkan akses ke pasaran EV Asean yang sedang berkembang pesat.
“Kita giat berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan ekosistem EV berkembang maju, daripada menyediakan insentif, pemasangan dan pembuatan tempatan EV hinggalah kepada memudahkan pembangunan infrastruktur pengecasan EV negara.
“Usaha kita itu adalah bertujuan untuk mewujudkan ekosistem EV yang mampan dan teguh di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tersebut, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap dapat menggandakan pemasangan stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun ini daripada 2,000 unit pada masa ini.
Beliau juga berkata kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus mulai 1 Mac, tidak akan memberi kesan kepada jualan EV di Malaysia kerana kerajaan telah mengecualikan cukai ke atas pembelian EV sehingga 2025 untuk menggalakkan pembangunan industri tersebut.
Manakala keputusan mengenai struktur cukai jalan EV baharu telah dimuktamadkan di peringkat jawatankuasa pemandu EV kebangsaan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat dalam tempoh terdekat, katanya.
Baca artikel lain: MSB Machinery Corporation sasar tembusi pasaran alat pengecas EV
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson; Pengarah Urusan Bahagian Motor Sime Darby Bhd Andrew Basham; Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik Liu Xueliang dan Pengarah Urusan BYD Malaysia Eagle Zhao.
Sementara itu, Sime Darby Beyond Auto Sdn Bhd, pengedar eksklusif rasmi kenderaan BYD di Malaysia berkata BYD Seal menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman pemanduan elektrik melambangkan kemajuan besar bagi BYD dan sekali gus meneruskan transformasi Malaysia ke arah penggunaan pengangkutan elektrik.
“BYD dilengkapi dengaan e-Platform 3.0, yang menjanjikan kepintaran, kecekapan, keselamatan dan estetika yang serba sempurna.
“Ia merupakan model pertama yang mengguna pakai seni bina pacuan roda belakang, melambangkan komitmennya untuk menjangkaui sempadan dan menetapkan piawaian baharu dalam kejuruteraan kenderaan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan susulan pelancaran tersebut.
BYD Seal didatangkan dalam empat warna dan 800 tempahan pertama akan menikmati pengecas wall box percuma dan kredit cas Gentari atau ChargEV bernilai RM800.
Jualan kenderaan tenaga baharu global BYD berjumlah 3.02 juta pada 2023, dan sehingga Februari 2024, jumlah keseluruhan jualan berjumlah 6.5 juta.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

