Ketidakupayaan bukan penghalang, Amirul Safuan lancar Haruman Ameer Safone. Simbolik keberanian dan daya tahan

Dari Penulis

Tidak pernah menganggap ketidakupayaan atau status sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan, jelas pengasas haruman Ameer Safone, Amirul Safuan Mohd Ishak, dia percaya tiada yang mustahil andai dia terus tekad dengan semangat yang kuat.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures ini lagi, mengakui platform untuk golongan orang kurang upaya agak terhad namun dia yakin ini dapat menjadi pemangkin semangat bagi mereka untuk meneroka dunia perniagaan

“Peluang untuk mendapatkan platform agak kurang untuk OKU, kami perlukan lebih banyak pendedahan dan sokongan daripada kerajaan dan agensi berkait untuk bantuan kewangan dan geran, malah daripada segi infrastruktur, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya kepada golongan OKU untuk lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara,” jelasnya di majlis pelancaran Ameer Safone.

Amirul yang memulakan langkahnya dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan mengakui dunia minyak wangi tidak asing bagi dirinya. Malah dia merupakan pengumpul koleksi minyak wangi jenama terkemuka dari seluruh dunia sejak sekian lama.

‘‘Minyak wangi mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia mengingatkan saya kepada Allahyarhamah ibu tercinta. Ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah mesin masa yang membawa kita kembali kepada memori, kenangan terindah atau detik-detik nostalgia.

“Dan dengan latar belakang saya dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan, saya memanfaatkan kepakaran dan pengalaman saya untuk menceburi bidang baharu. Saya kekal yakin dan sering mendapat sokongan yang cukup luar biasa daripada pelbagai agensi termasuk rakan usahawan. Ini mendorong saya untuk terus mengejar cita-cita.

“Malah kebangkitan sokongan pengguna menerusi kempen membeli barangan tempatan dilihat sebagai bonus untuk usahawan seperti saya untuk terus berusaha gigih.

‘‘Satu perkara yang saya percaya adalah, kita harus kreatif dalam kehidupan ini. Kini terdapat pelbagai pelbagai kemudahan teknologi yang boleh membantu daya kreativiti kita walaupun dengan batasan fizikal, dan saya menggunakan kesemuanya,” katanya.

Amirul juga tidak menafikan kekuatan dan keberanian yang dimiliki selama ini diwarisi daripada Allahyarhamah ibunya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mencurahkan ilmu pengetahuan yang kini dimanfaatkan dengan sebaiknya.

‘‘Bagi saya, Allahyarhamah ibu memang seorang pejuang. Mesikipun beliau diuji dengan kanser tahap empat (4), beliau masih boleh kekal tenang dan positif, manakala ayah saya sentiasa menjadi penyokong utama. Atas sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,’’ tambahnya.

Berkongsi kisah yang berlaku pada tahun 2020, jelas Amirul tragedi kemalangan sehingga menjejaskan keupayaannya bukan batu penghalang, malah dia terus mengekalkan pemikiran yang positif.

‘‘Terlibat dalam kemalangan pada tahun 2020 secara drastik telah mengubah hidup saya. Daripada menjalani kehidupan biasa, saya terlantar di katil hampir dua (2) tahun. Walau bagaimanapun, saya enggan membiarkan kekurangan fizikal saya menjadi penghalang untuk saya berjaya.

“Sebagai seorang Muslim, saya berpandukan kepada kepercayaan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita mempunyai daya tahan untuk berkembang maju. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bantuan zakat, institusi korporat serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya dalam pemulihan,’’ katanya.

Ameer Safone memperkenalkan tiga (3) haruman minyak wangi dalam koleksi sulung iaitu ‘‘Srikandi’’, ‘‘Bahaduri’’, dan ‘‘Mahkota’’. Setiap haruman unik dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut citarasa masing-masing, menggunakan bahan semula jadi. ‘‘Srikandi’’ menampilkan aroma manis yang melambangkan keanggunan, keyakinan dan feminin. ‘‘Bahaduri’’ bercirikan lelaki moden yang tampan bergaya, melambangkan kekuatan, keberanian, serta ketenangan. ‘‘Mahkota’’ menawarkan haruman yang diilhamkan oleh budaya Timur Tengah, membangkitkan unsur kemewahan dan misteri.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Tan Sri Nazir Razak, mantan pengerusi kumpulan CIMB. Turut hadir adalah YBhg Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga merupakan bekas Senator Dewan Negara mewakili komuniti OKU, dan Stephanie Ping, Ketua Pegawai Eksekutif WORQ.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Evotooth Platinum Sdn Bhd diiktiraf The Asia Records atas tiga inovasi kesihatan mulut pertama di dunia

The Asia Records dengan bangganya mengiktiraf Dr Martin Ong dan Evotooth Platinum Sdn Bhd atas pencapaian tiga mercu tanda...

More Articles Like This