SEKITAR 10,000 asnaf terutama golongan wanita dan ibu tunggal menerima 50 tan beras infak dari syarikat penjagaan kulit yang disandarkan oleh farmaseutikal sains, The Raw. menerusi Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw. di beberapa lokasi di Lembah Klang.
Usaha itu digerakkan bersama Pertubuhan Kebajikan RichWorks (RichWell) dan Enrichment Media Lab Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS).
Wakil syarikat The Raw International Sdn Bhd, Nor Amira Amizan berkata, fokus utama sumbangan beras itu adalah bagi meringankan beban golongan yang memerlukan meraikan Syawal yang bakal kunjung beberapa hari saja lagi.

“Menyedari pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup memanggil The Raw. untuk bekerjasama dengan beberapa organisasi bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Usaha ini dilakukan bersama dengan beberapa organisasi lain yang berbesar hati turun padang menyantuni golongan ini.
“Kita berharap dengan bantuan beras ini akan memberi sedikit keceriaan dan senyuman kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas sesi agihan beras Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, inisiatif itu sudah dimulakan dengan pengagihan 4,000 kampit beras kepada asnaf berhampiran empat masjid terpilih di sekitar Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Tambah Nor Amira lagi, melihatkan kepada sambutan sumbangan ini yang sangat meriah, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan misi tersebut pada tahun hadapan.

“Kami akan meneruskan bantuan program ini di kawasan perumahan sekitar Cheras, Selangor, hari ini.
“Sebenarnya pihak kami sudah menjalankan program seperti ini sejak lima tahun lalu tetapi hanya berskala kecil sahaja. Dulu kami fokus kepada golongan sasaran seperti anak yatim.
“Pada tahun ini kami buat kelainan dengan mencuba untuk santuni warga Perumahan Desa Rejang dan Alhamdulillah sangat meriah. Insyallah, kami bercadang untuk teruskan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

The Raw. merupakan salah sebuah syarikat berkembang pantas di bawah bimbingan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan RichWorks yang sentiasa menekankan tentang kepentingan memberi sumbangan kepada masyarakat dengan bersedekah dan menjadi usahawan yang bermanfaat kepada orang ramai.
Agihan infak 6,000 kampit beras itu juga mendapat sokongan daripada Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang serta Gabungan Pengerusi-Pengerusi Penduduk PA PPR DBKL WPKL.
Sementara itu, Pengerusi GERAKWANIS, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pemilihan lokasi di PA Desa Rejang adalah selepas melihatkan kepada jumlah penduduknya yang sangat ramai dan rata-rata kurang berkemampuan.
“Jalinan bekerjasama ini dengan The Raw. telah bermula sejak tahun 2000 dan ia masih berterusan sehingga kini.
“Kami di GERAKWANIS menyasarkan golongan wanita dan ibu tunggal. Harapnya usaha mulia ini bukan setakat di sini saja,” ulasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang, Ismail Shaari berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua organisasi yang datang menghulurkan beras di perumahan berkenaan.
“Untuk maklumat, secara keseluruhannya jumlah penduduk di sini ialah lebih 15,000 orang dan mereka kebanyakannya golongan B40.
“Ini adalah program julung kali yang paling besar di Desa Rejang anjuran NGO,” ulasnya.
Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Richwell, Hafiz Jasmi memaklumkan bantuan tersebut tidak hanya menyasarkan kepada satu bangsa saja malah pelbagai golongan turut menerima infak beras.
“Kami ingin mengambil peluang 10 malam terakhir Ramadan. Walaupun agak singkat tetapi program ini berlangsung dengan mudah.
“Kami memilih lokasi di Lembah Klang dan dekat dengan kami kerana sebenarnya ramai golongan yang memerlukan.
“Tetapi mereka yang tinggal di lokasi agak jauh bukan bermaksud kita tidak boleh menolong tetapi kita nak bermula dengan jarak yang berhampiran dan Insyallah kita akan terus ke lokasi-lokasi berbeza,” katanya.
The Raw. merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa dalam industri kecantikan yang diasaskan oleh Adibah Mazlan, seorang yang berpengalaman sebagai ahli farmasi dan kini The Raw. telah memasuki pasaran rangkaian farmasi seluruh negara.
Produk tersebut menekankan kepentingan wanita mendapatkan kulit sihat tanpa menggunakan produk yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri kerana produk The Raw. menggunakan bahan yang membantu wanita mendapatkan bukan saja kulit cantik tetapi apa yang lebih penting adalah sihat.
Produk The Raw. kini boleh didapati di lebih 500 cawangan Guardian dan 60 Aeon Wellness seluruh negara.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jenama The Raw., boleh layari laman web www.theraw.com.my.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

