AHLI Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abd. Aziz berharap punca sebenar kejadian dua pesawat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas, di Lumut, semalam dapat dikenalpasti seberapa segera kerana mengambil kira kepentingan kesiagaan aset pertahanan milik pasukan tersebut.
Beliau yang juga Ketua Biro Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN) yakin terhadap ketelusan dan keupayaan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian malang tersebut yang mengorbankan 10 anggota TLDM.

Walaupun tidak mahu membuat sebarang spekulasi namun kata Ikmal Hisham, kekerapan kemalangan melibatkan helikopter jenis AW139 merisaukan
‘’Tambahan pula pesawat yang terlibat relatifnya baharu iaitu jenis AS 555 SN (Fennec) (tidak pernah mengalami sebarang kemalangan sejak digunakan bermula tahun 2004) manakala AW 139 (HOM) adalah jenis model yang sama (milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) terlibat dalam kemalangan pada 5 Mac 2024 di Perairan Pulau Angsa, Klang dan pada 27 Februari 2020 di Tawau (milik Polis Diraja Malaysia).
‘’Bagaimanapun saya tidak berhasrat membuat sebarang spekulasi sebaliknya tetap akan menanti hasil siasatan lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh TLDM,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambil mengalu-alukan penubuhan Lembaga Siasatan kemalangan itu, beliau juga meminta semua pihak bersabar dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.
‘’Saya ucap takziah kepada semua ahli keluarga 10 mangsa anggota TLDM yang terlibat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang terkorban dalam peristiwa kemalangan ini,’’ katanya.

