Bagi peminat sukan ski, nama Eero Mantyranta bukanlah asing dalam dunia sukan salji tersebut. Penglibatannya dalam sukan ini telah melonjakkan namanya sejak beroleh emas kali pertama pada tahun 1960.
Acara yang berlangsung di Squaw Valley, California itu menjadi titik permulaan Mantyranta yang bukan hanya berjaya mengharumkan nama negaranya Finland, tetapi turut digelar ‘superhuman‘ kerana memiliki ketahanan tinggi sebagai pemain ski.
Antara pencapaian yang berjaya dirangkul sepanjang hidupnya adalah memenangi pingat perak dalam sukan ski pada tahun 1964 dan 1968. Tidak hanya itu, Mantyranta turut mengungguli anugerah gangsa pada tahun 1968 dalam dua kategori berbeza.

Kemuncak pencapaian hidupnya sewaktu dia berjaya membolot dua pingat emas dalam kejohanan sukan ski dunia sejauh 30 kilometer yang berlangsung ketika Olimpik musim sejuk di Innsbruck, Austria.
Pertandingan yang diadakan pada tahun 1964 itu menimbulkan keterujaan orang ramai berikutan kemampuannya menewaskan peserta lain. Hal ini disebabkan oleh jarak bermain ski yang jauh menyebabkan peserta perlu beradu tenaga untuk tempoh yang lebih lama sebelum sampai ke garisan penamat.
Kejayaan atlet berketahanan tinggi ini terus terlakar selepas dia berjaya merangkul lima kemenangan dalam kejuaraan ski Finland. Kejayaan itu sekali gus melayakkan dirinya dianugerahkan sebagai ‘Olahragawan Tahunan Finland’ pada tahun 1964 dan 1966. Atlet ‘superhuman’ ini juga pernah tersenarai sebagai penerima pingat Holmenkollen pada tahun 1964. Pingat Holmenkollen merupakan anugerah tertinggi pencapaian sukan ski dalam kalangan warganegara Norway.
Kemampuan yang dicapai oleh Mantyranta menjadi spekulasi buat sesetengah pihak apabila dia didakwa mengambil dadah ketika bertanding dalam sukan berkenaan. Malah, ketahanan tubuh yang tinggi seperti yang didakwa sebelum ini adalah berpunca daripada kesan pengambilan dadah.

Siasatan ke atas atlet ini telah dilakukan dengan melakukan ujian ‘doping’ ke atasnya. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh laman sesawang olympic.org, hasil keputusan menunjukkan jumlah sel darah merah di dalam badannya melebihi 20% daripada manusia normal.
Malah, sesetengah pihak menyatakan sel darah merah Mantyranta dianggarkan mencapai jumlah 50% daripada individu lain. Siasatan itu menguatkan lagi dakwaan ke atas atlet ini atas penyalahgunaan dadah bagi memperoleh tenaga luar biasa.
Tambahan lagi, latihan yang dijalani oleh Mantyranta adalah sama seperti rakan atlet yang lain. Jadi, apabila dia berjaya mencapai kecemerlangan dalam sukan yang diceburi, muncul tuduhan yang mengatakan beliau menggunakan unsur tambahan lain sebagai alternatif. Perkara tersebut bukan saja berlaku ke atas Mantyranta, bahkan juga kepada beberapa orang atlet dalam bidang sukan berbeza.
Selepas 30 tahun tuduhan penyalahgunaan dadah ke atas Mantyranta, sekumpulan saintis dikatakan telah menjalankan kajian ke atas 200 orang ahli keluarga atlet ini.
Apa yang mengejutkan, hasil daripada jumlah berkenaan mendapati seramai 50 orang ahli termasuk Mantyranta dilahirkan dengan mutasi genetik berbeza. Dengan kata lain, perbezaan itu adalah disebabkan oleh tubuh mereka mempunyai sel darah merah yang banyak dan kaya oksigen disebut sebagai ‘Primary Familial and Congenital Polycythemia’ (PFCP). Uniknya, keadaan darah itu dianggap magis dan berbeza daripada orang lain.

Menurut artikel yang ditulis oleh pakar dalam perubatan sukan, alahan dan imunologi, pediatrik dan imunologi pediatrik di Kensington, Dr. Gabe Mirkin, secara normal, lelaki dewasa memiliki kandungan hemogolobin sekitar 14 hingga 16 gm/dl (gram/dekaliter). Malah, ada juga sebahagian laporan menyatakan jumlah sel darah merah golongan ini mencapai sehingga 18 gm/dl.
Dalam pada itu, jelasnya, kecepatan individu bergerak dari suatu jarak sebahagiannya ditentukan oleh pengambilan masa oksigen ke dalam otot. Semakin tinggi hemoglobin dalam badan, lebih banyak oksigen dalam darah dapat membantu pergerakan otot yang lebih cepat, terutamanya dalam perlumbaan sukan seperti bermain ski, berbasikal, berenang, berjalan dan sebagainya. Dilaporkan ketika Mantyranta berusia 70an, jumlah hemoglobin yang terkandung dalam tubuhnya direkodkan berada pada bacaan 23.6 gm/dl.
Sementara itu, pada tahun 1968, Mantyranta telah memenangi perak untuk kedua-dua kategori yang sama bagi ski jarak 30km dan 15 km. Perbezaan masa selama dua saat menyebabkan dia terlepas emas pada tahun berkenaan. Bagaimanapun, pencapaian berkenaan tidak menjejaskan rekod yang pernah dicipta oleh lelaki ‘superhuman’ ini.
Masyarakat masih lagi menganggapnya sebagai atlet yang memiliki ketahanan tinggi berikutan darah magis yang dimilikinya. Gelaran itu kekal sehingga kini meskipun selepas dia meninggal dunia pada hujung tahun 2013 di usia 76 tahun.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

