SAMBUTAN Aidiladha sinonim dengan kisah pengorbanan membabitkan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang disebut dalam al-Quran.
Fikiran kita secara tidak langsung pasti terbayangkan Tanah Haram Makkah dan rangkaian kota suci lain yang berkaitan dengan perjuangan ibadah yang cukup besar iaitu haji.
Perjalanan untuk mendapatkan gelaran haji dan hajjah ini mempunyai kisah-kisah dan cabaran tersendiri.

Bagi membuka mata penonton tentang pengalaman dan kisah-kisah menarik di sana, satu dokumentari khas akan ditayangkan kepada mereka menerusi saluran Astro Oasis.
Ia bertujuan menghargai mereka yang mengerjakan haji sambil mencurah ilmu menepati semangat sambutan Aidiladha itu sendiri.

Dokumentari berjudul Citra Madinah terbitan Blithe Media Production Sdn. Bhd. berdurasi satu jam ini akan ditayangkan selama dua hari iaitu pada Sabtu 15 Jun dan Ahad 16 jun, jam 9 malam.
Penerbit yang juga pengarah dokumentari, Nur Farihah Ridzuan berkata, Citra Madinah memaparkan kisah-kisah sejarah kota suci, Kota Madinah dan kisah
yang tidak dirungkai di Masjid Nabawi, Masjid Nabi yang dibina oleh Rasulullah sendiri.

“Kita dapat lihat bagaimana gahnya masjid ini sekarang. Citra Madinah berkisarkan tentang kelebihan The Hidden Gem (Permata Yang Tersembunyi) yang ada di Tanah Suci Madinah.
“Tidak kurang kita dapat menyaksikan kepesatan perkembangan teknologi yang ada di Masjid Nabawi seperti broadcasting.
“Juga terdapat tiga buah muzium di Masjid Nabawi termasuk muzium terbaru Bustan Al Safiya. Yang paling seronok sekali cerita yang orang tak tahu ada di Masjid Nabawi.
“Yang paling menarik, ada lagi tempat yang orang takkan pergi dan orang tidak tahu dan mereka perlu menonton Citra Madinah,” katanya.

Farihah turut bersyukur kerana penghasilan dokumentari ini berjalan lancar seperti yang dirancang.
“Buat pertama kalinya, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan permit untuk penggambaran dan memberi sepenuh kerjasama bagi menjayakan program ini.
“Kami dapat sokongan penuh dari kerajaan Arab Saudi yang bantu dalam menjayakan dokumentari ini.
“Kami amat berterima kasih dan berbesar hati dengan fasiliti dan kerjasama baik ini.
“Moga semua beroleh manfaat dan reda Ilahi menerusi dokumentari ini,” ujarnya.

Tenaga produksi seramai lapan orang ini berada di Madinah dan Al Ula dari 18 Mei sehingga 24 Mei.
Mereka seterusnya akan berada di Makkah selama dua hari untuk mengerjakan umrah sebelum pulang ke tanah air.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

