BIARPUN tersenarai dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa menjalinkan kerjasama dengan jenama pro-Israel, pelakon Meerqeen menegaskan dia tidak pernah mengabaikan situasi getir yang menimpa penduduk Palestin.
Kata Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam,23, dia kerap mengambil tahu apa sahaja yang berlaku di negara bergolak itu sehingga terkini termasuk turut menyalurkan sumbangan.
Pun begitu, bintang drama Melur Untuk Firdaus itu menyifatkan tiada kepentingan untuk dia menghebohkan perkara tersebut kepada semua.
“Mungkin siapa yang tak ikut saya, tak tahu apa saya buat selama ini. Saya tetap menyokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana. Buat apa saya hendak menunjuk perkara itu kepada umum.
“Kadang-kadang sebagai manusia kita sibuk dengan kerja dan tak tengok telefon bimbit sangat.
Tapi, apapun pengikut saya tahu apa pegangan saya dalam isu ini,” katanya kepada URTV.
Meerqeen berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, sebagai umat Islam, dia seharusnya menyatakan sokongan kepada Palestin dan memohon maaf sekiranya tindakannya sebelum ini ada membuatkan ramai pihak berkecil hati.
“Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya, tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. Saya minta maaf sekiranya perkara ini membuatkan segelintir pihak tidak senang.
“Sejak 2022 saya bersuara mengenai isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial. Saya juga menyumbang untuk saudara kita di Palestin,” luahanya.
Pada masa sama, Meerqeen lebih memberikan fokus terhadap karier seni disebabkan enggan isu boikot memberi kesan kepada kualiti kerjanya.
“Saya fokus kepada kerja dan tak mahu ada perkara lain mengacau prestasi saya. Saya memilih untuk teruskan seperti biasa, saya tahu apa saya buat untuk saudara di sana.
“Nasihat saya kepada sesiapa yang ada duit lebih, sebaiknya kalian menyumbang kepada Palestin.
“Kerana bila ada duit lebih saya juga akan asingkan untuk Palestin. Saya tak mahu cakap mengenai perkara itu kerana ia antara saya dan keluarga,” katanya.
Mengulas mengenai kontrak bersama jenama yang memberi sokongan kepada Israel, Meerqeen berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.
“Kontrak masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan kerana ada beberapa kontrak yang saya masih sedang teliti dan tengok lagi,” kongsinya..
Sebelum ini, wujud gerakan Blockout 2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dilakukan sebagai tanda kekecewaan terhadap segelintir selebriti tempatan yang masih berterusan mempromosikan produk pro-Israel di media sosial mereka.
Ia sekaligus membuatkan warganet menyenaraikan nama-nama selebriti yang menjalinkan kerjasama dengan produk Zionis. Malah, netizen mula ‘unfollow’ dan menyekat semua media sosial artis yang terlibat.
Selain Meerqeen, antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

