PENYANYI Adira Suhaimi akui dia dan bekas suami, Datuk Red kini dalam fasa menjalinkan hubungan cinta.
Adira atau Siti Adira Suhaimi,32, terbuka hati untuk menerima kembali Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu,46, selepas melihat kegigihan yang dilakukan bagi menawan hatinya.
“Saya pun tak nak menipu lagi. Sekarang ini saya sedang buka peluang kepada Datuk Red.
“Sebenarnya anak-anak pun menjadi salah satu sebab tapi Datuk Red juga ada tunjukkan usahanya.
“Tak tahulah macam mana terjadi sebab kami fokus kepada perniagaan. Orang kata sambil menyelam minum air,” katanya memetik laporan mStar.
Pada masa sama, penyanyi Ombak Rindu itu juga tidak menafikan mereka akan bernikah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Saya nak bagi dia kejar cita-cita dan perbetulkan apa yang patut dahulu.
“Kembali bersatu (kahwin) dalam perancangan lagi dan kami pun ada berbincang mengenai perkara ini. Kami bukan muda lagi nak sorok-sorok berita gembira ini.
“Tapi saya tak harap lebih-lebih, hanya ‘follow the flow’,” ulasnya.
Sementara itu, Adira juga akui hubungan yang kembali terjalin itu juga membuatkan mereka berdua lebih fokus kepada bisnes.
“Saya boleh fokus dengan kerja saya, begitu juga dia. Walaupun hati kami berbunga-bunga tapi tiada had dalam bekerja.
“Dia faham kerja saya dan saya juga faham kerja dia,” jelasnya.
Terdahulu, Datuk Red tanpa berselindung mengakui kini sedang bercinta semula dengan bekas isterinya itu.
Malah, Datuk Red juga sudah mendapatkan pandangan serta berbincang dengan keluarga Adira mengenai rancangan mereka untuk bernikah semula.
Untuk info, Adira dan Datuk bercerai talak satu pada 24 April lalu selepas sembilan tahun bernikah.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggerik,6, Asan,5, Anggun,4 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.

