SELEPAS pelbagai usaha dilakukan demi mempertahankan mahligai cinta yang dibina, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya akur apabila jodohnya bersama suami, Adam Azriff terlerai buat kali kedua.
Pasangan itu disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, pada pagi semalam.
Meskipun terpaksa menelan kepahitan sebuah perpisahan, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 37, itu menyifatkan episod duka ini sebagai satu fasa mematangkan diri, selain menganggapnya sebagai takdir yang perlu diterima dengan hati yang terbuka.
Mengulas mengenai perpisahan tersebut, pelantun lagu Bukan Hal Aku ini mengakui dia dan bekas suami sudah cuba melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, keputusan ini dilihat sebagai jalan keluar paling harmoni buat kedua-dua belah pihak selepas fasa rundingan menemui jalan buntu.
“Iya, berita (perceraian) itu memang benar. Proses cerai itu sudah berlaku semalam (Khamis) dengan jatuhnya talak dua pada pukul 9 pagi.
“Secara peribadi, saya menerima aturan takdir ini sebagai satu pengajaran yang sangat besar dalam lipatan kehidupan saya.
“Inilah realiti kehidupan. Ia mengajar kita untuk sentiasa mencuba dan memberikan yang terbaik.
“Kami sudah berusaha sehabis baik sebelum ini, namun rezeki dan keputusan akhir tidak menyebelahi apa yang kami impikan bersama.
“Bagaimanapun, rasa puas itu ada kerana sekurang-kurangnya kami sudah mencuba. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, ini adalah ketentuan takdir dan saya sedia menerima hakikat ini,” katanya kepada URTV.
Sedia Galas Tanggungjawab Ibu Tunggal
Kembali memegang status ibu tunggal, fokus utama Kaka kini beralih sepenuhnya kepada kebajikan dan masa depan tiga cahaya matanya yang masih kecil.
Enggan membiarkan emosi terus larut dalam kesedihan, Kaka tekad untuk mengumpul kekuatan demi menjadi payung pelindung kepada anak-anaknya.
Menjadikan ketabahan ibunya sendiri sebagai sumber inspirasi, Kaka sedar cabaran besar yang bakal menanti di hadapan, namun percaya ada hikmah yang tersusun di sebalik ujian yang menimpa.
“Apa yang paling penting bagi saya sekarang adalah untuk meneruskan perjalanan hidup ini dan fokus sepenuhnya kepada tuntutan menjaga tiga cahaya mata kami.
“Memulakan hidup baharu sebagai seorang ibu tunggal pastinya akan mendedahkan saya kepada pelbagai cabaran yang mendatang.
“Ibu saya dahulu membesarkan saya sebagai seorang ibu tunggal, cuma situasinya berbeza kerana arwah bapa meninggal dunia (cerai mati).
“Saya tahu ia bukan satu tugas yang mudah untuk digalas, tetapi inilah kehidupan yang harus ditempuh. Saya mengambil fasa ini sebagai peluang untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik,” luahnya optimis.
Sebagai info, ini bukanlah kali pertama kisah pergolakan rumah tangga pasangan ITU menjadi sorotan media.
Kaka dan Adam sebelum ini pernah disahkan bercerai pada 28 Oktober 2024. Bagaimanapun, atas faktor kasih sayang dan demi masa depan anak-anak, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk pada awal tahun 2025 ketika Kaka masih dalam tempoh idah.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018. Hasil perkongsian hidup selama hampir lapan tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki yang comel iaitu Aslan, 6, Aryan, 5, dan Atta Adam yang kini menjadi sistem sokongan terbesar buat Kaka.

