PENYANYI dan pelakon Jeslina Hashim kini sedang menghitung hari untuk mendirikan rumah tangga dengan Tunku Eddy Nasruan Adil.
Menurut Jeslina, persiapan sebelum menuju hari bahagia juga sudah selesai.
“Persiapan semua dah siap…tunggu hari saja. Tidak lama lagi, boleh kira pakai dua tangan.
“Perkahwinan akan diadakan di Kuala Lumpur dan secara kecil-kecilan bersama keluarga sahaja,” katanya memetik temu bual bersama Majalah Nona.
Pada masa sama, Jeslina bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang disifatkan sempurna dan pandai mengambil hati dua orang anaknya.
“Dia sangat baik. Saya sangat mencintai dia. Semua orang yang jumpa dia, semua saya dengan dia.
“Anak saya iaitu Micah dan Keira pun sayang dengan dia,” ujarnya.
Jeslina sebelum ini digosipkan sedang bercinta dengan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar dan Tunku Ampuan Najihah.
Difahamkan, hubungan percintaan mereka itu sudah terjalin sejak lapan tahun lalu.
Sekadar info, Jeslina pernah mendirikan rumah tangga bersama Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005 namun berpisah pada Mac 2013.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Micah, 16 dan Keira, 14.

