MENJADI satu-satunya bunga dalam kumpulan Cherry On Top, Holy tidak pernah dipinggirkan daripada ahli lain.
Malah, selaku vokalis bersama lima pemuzik lelaki, anak kelahiran Sabah itu akui selesa bersama dengan mereka.
“Anggota kumpulan Cherry On Top semua layan saya dengan baik walaupun saya seorang saja perempuan.
“Kalau nak berbincang, mereka akan ajak saya sekali untuk bertanyakan pendapat.
“Saya pun membesar dalam keluarga yang ramai lelaki, jadinya tak rasa janggal bila bersama Cherry On Top,” katanya kepada URTV.

Tambah pemilik nama penih Adriana Audrey Michael itu lagi, Cherry On Top mengetengahkan muzik progresif rock yang nyata pada asalnya bukan ‘jiwanya’.
Namun, akui Holy yang sukakan cabaran, dia tetap mencuba genre tersebut dengan baik dengan gayanya yang tersendiri.
“Sebelum ini saya sering membawakan lagu genre balada dan ‘galau’.
“Sejujurnya saya berdepan kesukaran waktu mula-mula kena menyanyi lagu rock.
“Sebab suara saya tidak sesuai untuk ‘menjerit’ seperti penyanyi rock lain. Tapi apa-apa pun saya cuba sehabis baik untuk jadi diri sendri tanpa dibayangi penyanyi lain,” jelasnya.

Sementara itu, ketua kumpulan iaitu Kuzan yang juga pemain keyboard bersyukur apabila bapanya yang merupakan pengasas One Scream Studio, percaya kepada kebolehan mereka berenam.
“Walaupun bapa saya seorang pemuzik dalam industri tapi itu tak bererti kami menggunakan jalan pintas untuk dikenali.
“Selain saya, ada beberapa orang lain ahli lain yang merupakan anak kepada penghibur hebat tanah air. Masing-masing berdiri di atas bakat sendiri.
“Cherry On Top merupakan artis pertama di bawah One Scream Studio. Kami tidak mahu sia-siakan peluang ini dan mahu bergerak lebih luas lagi,” katanya yang merupakan pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Selain Holdy dan Kuzan, kumpulan itu turut dianggotai oleh Osama iaitu anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, pasangan adik-beradik, Didi dan Bobo yang juga anak kepada pengurus kumpulan DefGabC dan Ayen Tommy pula anak kepada pemain dram Wings, Black.
Buat kali pertama, Cherry On Top turut mempamerkan kemahiran bermain muzik menerusi lagu Ketagih yang disampaikan Holy secara duet dengan Datuk Syafinaz Selamat.
Diterbitkan oleh Kusham, album Cherry On Top memuatkan lima lagu. Antaranya, Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, selain Ketagih.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

