JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan keyakinan bahawa rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu menggalas cabaran negara dan melangkah lebih jauh dalam arena sukan itu.
Dalam catatan di Facebook, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu turut percaya Muhammad Shah Firdaus boleh memberikan pencapaian lebih cemerlang pada edisi Sukan Olimpik di Los Angeles pada tahun 2028.
Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan persembahan Muhammad Shah Firdaus pada aksi final acara keirin, semalam.
“Saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA (Los Angeles) 2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.
“Baton sudah diserahkan. Kini giliran anda,” katanya dalam hantaran tersebut.
Azizulhasni dalam hantaran sama turut mengucapkan tahniah atas prestasi cemerlang yang dipamerkan Muhammad Shah Firdaus.
Katanya, memasuki pusingan akhir keiring di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
“Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan suku akhir dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di Final adalah satu prestasi yang amat cemerlang.
Baca artikel lain: Shah minta maaf kepada rakyat Malaysia, janji nak bawa ibu tunai umrah jika menang
“Memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh,” jelasnya.
Semalam, Muhammad Shah Firdaus yang menggalas harapan negara mengakhiri saingan final acara keirin di tempat keenam sekali gus merupakan pencapaian terbaiknya dalam penyertaan di pentas Olimpik.
Pada aksi final di Velodrom Saint Quentin en Yvelines itu, Muhammad Shah Firdaus tampil dengan kayuhan memukau untuk berada di kedudukan gangsa sebelum terjatuh pada 250 meter (m) terakhir bersama dua pelumba lain iaitu Shinji Nakano (Jepun) dan Jack Carlin (Great Britain).
Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Shah Firdaus menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya tersebut, menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.
Pemberian status itu difahamkan ekoran tindakannya menghalang terlebih dahulu Nakano sebelum berlakunya perlanggaran.
Susulan itu, Shah Firdaus diturunkan untuk berada di kedudukan keenam manakala Nakano dan Carlin yang turut terbabit dengan pelanggaran diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).
Azizulhasni pula dibatalkan penyertaan dalam saringan pertama selepas didapati memotong derny (pacer) sebelum derny meninggalkan trek.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

