SEORANG wanita ditahan selepas membenarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui bumbung bukaan atau sunroof ketika kereta sedang bergerak, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu di aplikasi Threads, semalam.
Kata beliau, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima pada pukul 5.28 petang semalam.
Naazron memaklumkan, kejadian tersebut dikesan berlaku sekitar pukul 6 petang kelmarin dipercayai dirakamkan oleh pengguna Lebuhraya Grand Saga Cheras, berhampiran Kampung Batu 10, Cheras.
Video berkenaan memaparkan kanak-kanak perempuan itu telah mengeluarkan kepala melalui sunroof.
“Suspek yang merupakan ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun itu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Wanita berusia 30 tahun itu kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki mengabaikan kanak-kanak.
Pada masa sama, kata beliau, kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara, manakala kesalahan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan, khususnya membabitkan kanak-kanak, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengancam nyawa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tharani Sivarajan di talian 0177331935 bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

