PENULIS skrip dan idea asal teater Andak Bertandak, Fasyali Fadzly mendedahkan tajuk asal teater itu sepatutnya berjudul Barah namun diubah kerana mahu memberikan sesuatu yang ‘catchy’ dan menangkap minat penonton apabila dipentaskan pada 29 Ogos hingga 1 September ini di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Fasyali berkata, perubahan tajuk teater Barah kepada Andak Bertandak diusulkan oleh penerbit eksekutif Mask Team, Shawn Amer selain turut dipersetujui dirinya yang memberikan beberapa cadangan tajuk.

“Andak Bertandak adalah naskhah drama pentas panjang pertama yang saya hasilkan. Seingat saya sekitar tahun 2006 atau 2007. Sebenarnya tajuk asalnya ialah Barah. Pada asalnya, drama ini dihantar kepada pensyarah pada waktu itu untuk dijadikan persembahan tahun akhir pengajian diploma saya.
“Namun saya tak berharap tinggi sebab tidak pernah terjadi dalam sejarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada ketika itu menggunakan naskhah pelajar yang baru untuk digunakan sebagai persembahan akhir. Dan seperti yang diketahui, final showcase kami tak guna skrip ‘Barah’ pun. Kami perform skrip tragedi Yunani ‘Medea’ daripada Euripedes. Masa tu yang arahkan ialah Dr Norzizi Zulkifli.
“Ketika kawan lama saya, Shawn approach untuk mementaskan karya ini, saya setuju. Tapi Amer cakap, tajuk teater ni kena lain sikit. Saya memang dah terfikir lama untuk ubah tajuk teater ni. Tapi tiada sebab pada ketika itu untuk ubah.
“Namun bila nak dipentaskan ni, saya pun cadang beberapa tajuk dan akhirnya jadilah Andak Bertandak. Ini juga seperti satu tribut kepada Bidin Subari dan Syed Alwi yang suka guna frasa yang catchy. kalau korang tengok teater ni nanti, korang tahulah kenapa tajuknya dulu ‘Barah’ dan kenapa sekarang ditukar kepada ‘Andak Bertandak’,”katanya kepada URTV.
Menurut Fasyali, selepas mengizinkan karyanya digunakan untuk pementasan teater berskala besar dia bagaimanapun enggan mengarahkan teater itu sebaliknya hanya mengusulkan satu nama pengarah iaitu Azhar Zainal.

“Saya beritahu Shawn, saya sudah tidak mahu arahkan karya ini. Saya mahu kawan saya Azhar Zainal, yang sama-sama tergelak-gelak atas katil masa saya pitch idea ini kat dia dulu, untuk arahkan skrip ini.
“Saya cakap, kalau ada orang lain yang boleh direct teater ‘Barah’ ni, orang itu semestinya Azhar Zainal. Dialah orang yang menyaksikan karya ini lahir dari kepala otak saya. Dia yang faham teater ini perlu jadi bagaimana. Saya bagi sepenuh kepercayaan saya kat dia.
“Saya terharu yang watak-watak rekaan saya ini akan diperankan oleh pelakon berbakat yang baru dan lama. Ketika saya menulis karya ini, saya sangat-sangat enjoy. Saya harap, pelakon enjoy main di atas pentas dan penonton juga akan enjoy bila menonton cerita ini. Ini naskhah pertama saya,” ujarnya.
Teater Andak Bertandak bakal dibintangi oleh pelakon terkenal tanah air seperti Azhan Rani, Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.
Tiket menyaksikan teater Andak Bertandak sudah dijual secara atas talian di www.cloudjoi.com dengan harga tiket bermula RM65, RM95, RM125, dan RM155.
Teater Andak Bertandak mengisahkan kehidupan keluarga Andak serta masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab yang munasabah.
Teater yang mempamerkan nilai komersial yang tinggi serta sarat dengan mesej kemasyarakatan dan kekeluargaan ini akan disampaikan dalam gaya penceritaan yang ringan dan dekat dengan penonton. Biarpun bergenre farce comedy, teater Andak Bertandak diharapkan mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton yang hadir.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

