PENYANYI Afgan teguh dengan pendiriannya untuk tidak mengambil kisah komen-komen negatif mengenai aksi mesranya menerusi video muzik Escape bersama penyanyi rap dari Korea Selatan, Jessi.
Menurut pemilik nama penuh Afgansyah Reza,35, kemesraan yang ditonjolkan dalam klip tersebut adalah sebahagian daripada ‘mood’ dalam muzik yang disampaikan.
Selain itu, ia juga mahu memberi gambaran mengenai percutian bersama teman baik.
“Aksi itu lebih kepada menyampaikan energi yang terdapat dalam lagu yang berkonsepkan ‘fun pop’.
“Jadi, masa penggambaran video muzik dibuat dalam situasi menyeronokkan dan secara ‘candid’.
“Kami paparkan bagaimana dua sahabat baik menghabiskan masa dengan pergi bercuti dan mengembara.
“Saya tak nak ambil perhatian dengan komen-komen negatif itu. Sebba niat saya hanya nak sampaikan aura dan mesej lagu tersebut,” katanya kepada URTV.
Afgan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur di sebuah hotel di ibu negara, petang semalam.

Turut hadir bersama adalah, Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music (KM), Ahmad Jeffny dan Yuka Kharisma serta Datuk Seri Alha Alfa.
Dalam pada itu, Afgan turut berkongsi detik perkenalannya bersama Jessi yang bermula dari sekadar mesej di Instagram.
“Selesai menulis lagu, saya terfikir dengan siapa saya patut berduet. Kemudian saya teringatkan Jessi sebab pernah membuat persembahan bersama di Jakarta.
“Saya meluahkan hasrat berduet dan menghantar melodi lagu menerusi mesej di Instagram. Selepas beberapa minggu kemudian dia membalasnya bersama rakaman vokal,” ujarnya.
Video muzik Escape yang dimuat naik sejak sebulan lalu di Youtube kini mencatatkan lebih 2.8 juta tontonan.
Sementara itu, konsert anjuran Kharisma Music bersama Alha Alfa, Intan Gelombang dan Futurace itu bakal menyaksikan Afgan dan Lyodra membuat persembahan selama dua jam 30 minit dengan 20 lagu pada 28 September depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Pasangan itu akan diiringi oleh 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music iaitu Ahmad Jeffny berkata, ini adalah pertama kali pihaknya menggandingkan dua penyanyi papan atas dari Indonesia atas satu pentas.
“Kami sentiasa ke depan dalam menyajikan hiburan secara langsung dalam bentuk fizikal buat peminat muzik di Malaysia.
“Apabila melihat keserasian Afgan dan Lyodra berduet dalam Ada membuat kami teruja untuk menggandingkan mereka berdua dalam sebuah konsert buat pertama kalinya di Malaysia.
“Penonton konsert berpeluang menikmati susunan muzik yang digubah khas oleh mereka berdua yang belum pernah pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.
“Identiti penyanyi jemputan masih lagi dirahsiakan dan akan diumumkan kelak dan pastinya ada kejutan bagi penonton,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

